Selasa, 5 Julai 2011

Khairy: Pemuda Umno sedia kerjasama jika Bersih batal perhimpunan

July 05, 2011

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Pemuda Umno akan membatalkan rancangannya mahu mengadakan perhimpunan balas, sebaliknya akan menyokong beberapa tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya dibawa Bersih 2.0 jika gabungan itu menggugurkan kempennya, Sabtu ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin (gambar) memberitahu The Malaysian Insider bahawa sayap itu akan menawarkan sokongannya memandangkan sistem semasa juga memerlukan penambahbaikan.

“Kami percaya bahawa satu barisan berkecuali yang bersatu, yang (jika) kita bersetuju akan lebih efektif, jika Bersih benar-benar mahukan perubahan,” kata beliau yang juga Ketua Pemuda BN.

“Saya selalu mengatakan bahawa kami menyokong sistem semasa tetapi penambahbaikan adalah diperlukan,” kata Khairy lagi yang kini berada di Athens.

Ahli Parlimen Rembau ini berkata Pemuda Umno akan membantu membersihkan pengundi-pengundi sudah mati dari daftar pemilih semasa, pengundian bagi mereka di luar negara, akses parti politik kepada semua media.

“Semua ini boleh dibincangkan,” katanya.

Semalam, kedua-dua Perkasa dan Pemuda Umno mengisytiharkan bahawa mereka sedia untuk membatalkan perhimpunan balas jika Bersih 2.0 bersedia berbuat demikian.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijak.

Pagi semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pihaknya sanggup menyediakan sebuah stadium untuk Bersih 2.0 berkumpul tetapi bertanya “kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan.”

“. . . mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat . . . buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.

Tiada ulasan: