Selasa, 19 Julai 2011

Ketua Pembangkang Johor desak Hamid letak jawatan Pengerusi PAC

Boo Cheng Hau


Saya merayu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor agar menyiasat tuduhan saya terhadap Hamid "salahguna kuasa" sebagai Pengerusi PAC Johor semasa persidangan Dewan Negeri Johor pada 1 Julai lalu sebab beliau memulakan pembinaan sebuah banglo di Simpang Renggam tanpa kelulusan pelan oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Saya mempersoalkan integriti Hamid seterusnya menjawat Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya (PAC) Johor kerana beliau, gagal mematuhi undang-undang sedia ada malahan melanggar peraturan-peraturan bangunan kerjaan tempatan walaupun beliau mengetahui tindakan beliau bercanggah dengan undang-undang, di mana pelan bangunan sewajarnya diluluskan oleh PBT sebelum pembinaan.

Saya ingin menegaskan bahawa ahli-ahli PAC khasnya Pengerusinya sewajar mempunyai integriti yang kukuh kerana peranan PAC adalah memeriksa akaun-akaun agensi-agensi kerajaan termasuk PBT, yakni sebarang tindakan agensi-agensi kerajaan termasuk PBT akur prosidur, garis panduan dan undang-undang dalam proses menanangi hal-ehwal kewangan, perlesenan dan akaun.

Maklumat yang didapati oleh pihak saya menunjukkan Hamid, semasa menjawat Pengerusi PAC, telah membina sebuah rumah dijangka bernilai RM 1.5 hingga 2.5 juta bila siap dibina di Bandar Simpang Renggam tanpa kelulusan pelan bangunan oleh Majlis Daerah Simpang Renggam.

Oleh itu, integriti beliau sebagai Pengerusi PAC perlu disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor. Selain itu, saya juga mencabar Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman menjelaskan pendirian beliau sama ada Hamid masih memperolehi integriti dan keyakinan awam untuk memegang jawatan Pengerusi PAC selanjutnya.

Menurut siasatan saya, rumah Hamid bertapak di atas tanah pertanian Lot 152 Mukim Ulu Benut yang masih belum diubah syarat kepada tanah perumahan tetapi di dalam kawasan operasi PBT. Ini bermakna kelulusan pelan bangunan oleh PBT diwajibkan untuk pembinaan rumah selepas lot tanah berkenaan ditetapkan sebagai kawasan operasi PBT.

Menurut carian persendirian di Pejabat Tanah Daerah Kluang, Abdul Hamid Abdul Rahman didapati mempunyai syer sebanyak 53/854 daripada lot tanah 152 yang seluas 2.16 hektar (5.3375 ekar), iaitu 14,426.6 kaki persegi atas lot tanah tertsebut. Nilai tanah beliau dijangka RM 280,000 dan bangunan banglo beliau dijangka bernilai di antara RM 1.5 hingga 2.5 juta bila siap dibina.

Saya tidak mempersoalkan kemampuan Hamid untuk memiliki sebuah rumah yang bernilai RM 1.5 hingga 2.5 juta sebab syarikat beliau Hamid Sawmill Sdn. Bhd. dikurniakan hutan simpanan kekal seluas 2,024 hektar pada tahun 2007 dengan kayu balak dijangka bernilai di antara RM 150 juta hingga RM 250 juta untuk tujuan pembangunan projek Ladang Hutan Getah.

Akan tetapi, integriti beliau perlu disiasat sebab gagal mematuhi undang-undang di mana pelan bangunan rumah kediaman baru beliau perlu diluluskan oleh PBT sebelum pembinaan dimulakan.

Walaupun saya diarah keluar dari Dewan Negeri semasa persidangan Dewan Negeri Johor pada 4 Julai serta dituduh membuat tuduhan tidak berasas kepada beliau, saya memohon kepada Speaker Dewan Negeri Mohamad Ali Hassan selaku Pengerusi Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor supaya menyiasat semula tuduhan saya dalam persidangan Dewan Negeri serta memutuskan sama ada Hamid Abdul Rahman, ADUN Machap, masih menguasai integriti dan keyakinan awam demi memegang lagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira raya.

Selain itu persoalan sama ada beliau menggunakan pengaruh beliau sebagai Pengerusi PAC Johor untuk mendapatkan kelulusan pelan bangunan berkenaan perlu disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Johor.

Saya juga menyeru secara terbuka, demi mempertahankan integriti PAC Negeri Johor, Hamid supaya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Raya Negeri Johor.

*Kenyataan media oleh Boo Cheng Hau selaku ADUN Skudai memerangkap Ketua pembangkang Dewan Negeri Johor, Ahli PAC Johor.

Tiada ulasan: