Selasa, 26 Julai 2011

Kesatuan piket Jumaat protes kontrak Presiden KTMB disambung

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) merancang mengadakan piket secara aman di pekarangan ibu pejabat Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di sini Jumaat ini bagi membantah penyambungan kontrak presiden KTM Dr. Aminuddin Adnan selama dua tahun mulai 1 Ogos ini.

Presidennya, Abdul Razak Md Hassan mendakwa pihaknya telah mendapat kebenaran daripada polis Dang Wangi untuk mengadakan piket itu dan menjangka kira-kira 1,000 pekerja KTMB akan menyertainya mulai 6 petang.

Bercakap pada sidang media di sini, Razak mendakwa penyambungan kontrak Aminuddin menimbulkan rasa kurang senang pihak kesatuan, kerana menurutnya, Aminuddin bersikap negatif terhadap kesatuan.

“Pekerja-pekerja KTMB melahirkan rasa kekecewaan dengan penyambungan kontrak Dr. Aminuddin Adnan sebagai Presiden KTMB selama dua tahun lagi bermula 1 Ogos 2011 sehingga 31 Julai 2013.

“Penyambungan kontrak kini menimbulkan rasa kurang senang kesatuan berikutan perhubungan di antara kesatuan dengan Presiden KTMB telah punah berikutan Presiden KTMB tidak menganggap kesatuan sebagai rakan kongsi, sebaliknya beranggapan kesatuan adalah ‘seteru’,” kata Razak dalam kenyataan yang diedarkan pada sidang media.

Kata beliau, perhubungan perusahaan adalah elemen penting dalam menjana produktiviti yang baik, kesatuan sebagai rakan kongsi perlu diberi perhatian yang serius dalam membantu membangunkan KTMB dari sebuah syarikat yang tidak produktif kepada sebuah syarikat yang berdaya saing bagi member perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, tindakan membelakangkan kesatuan dan beranggapan kesatuan sebagai “seteru” adalah satu persepsi yang negatif yang perlu dihindarkan kerana boleh mencetuskan pertikaian.

Kata beliau, pihak kesatuan memohon kepada pihak yang bertanggungjawab dalam pelantikan Aminuddin membatalkan atau menamatkan kontraknya serta-merta dan melantik mereka yang lebih layak untuk menerajui KTMB.

“Pihak kesatuan ingin menegaskan bahawa tindakan penyambungan kontrak ini akan menyebabkan dalam tempoh dua tahun yang akan dating akan terus wujud pertikaian seterusnya akan menyebabkan pihak kesatuan mengambil tindakan perusahaan yang berpanjangan sehingga Aminuddin ditamatkan kontrak,” kata beliau.

Tiada ulasan: