Rabu, 13 Julai 2011

'Kes Noorfadilla lonjakan untuk kesetaraan jantina'

MALAYSIA KINI

Keputusan mahkamah bahawa tindakan kerajaan menolak permohonan wanita mengandung Norfadilla Ahmad Saikin sebagai guru sandaran sebagai tidak berperlembagaan disifatkan sebagai lonjakan besar ke arah kesetaraan jantina.

Menurut Kumpulan Bertindak Bersama untuk Kesetaraan Jantina (JAG), mahkamah buat pertama kalinya mengakui bahawa Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan harus dibaca bersama-sama.

NONE"Apa yang dianggap sebagai 'diskriminasi terhadap wanita' dan ' diskriminasi jantina' tidak pernah diputuskan sehinggalah kes Noorfadilla," kata gabungan enam NGO wanita di seluruh negara itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Zaleha Yusuf semalam memutuskan tindakan kerajaan menolak permohonan Norfadilla (kiri) menjadi guru kerana beliau mengandung tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Hakim berkata Kementerian Pendidikan dan kerajaan tertakluk kepada Cedaw dan perisytiharaan Konvesyen Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Norfadilla, 29 mengheret kerajaan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah bahawa kehamilan tidak boleh digunakan sebagai alasan tidak menerimanya sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) dan membatalkan memo penempatannya semula.

Dalam kenyataan hari ini, JAG menyifatkan keputusan mahkamah semalam menghantar isyarat jelas dan tegas bahawa penarikan kerja disebabkan kehamilan merupakan satu bentuk diskriminasi jantina dan bertentangan dengan perlembagaan.

"Undang-undang yang jelas kini, wanita mempunyai hak untuk bekerja apabila mereka mengandung," katanya.

JAG dianggotai All Women's Action Society (AWAM), Perak Women for Women (PWW), Sabah Women Action Resource Group (SAWO), Sisters In Islam (SIS), Women's Aid Organisation (WAO) dan Women's Centre For Change, Pulau Pinang (WCC).

Tiada ulasan: