Jumaat, 15 Julai 2011

Kekerasan polis: Pemuda PAS bersama SUHAKAM

Nasrudin Hassan


Pemuda PAS melahirkan rasa terima kasih kepada pihak SUHAKAM kerana sudi menerima kunjungan daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dan Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) PAS pada 12 Julai baru-baru ini.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pesuruhjaya Mohd Sha'ani Abdullah membuktikan bahawasanya SUHAKAM benar-benar memandang serius terhadap laporan keganasan pihak polis ke atas peserta BERSIH 2.0 yang diserahkan kepada pihak SUHAKAM baru-baru ini.

Beliau yang turut hadir bagi memantau perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyifatkan penangkapan yang dilakukan ke atas peserta himpunan aman dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) adalah satu bentuk pencabulan.

Pesuruhjayanya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, oleh yang demikian semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian dinasihatkan agar tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS. Katanya, ini kerana tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh SUHAKAM ini wajar untuk diberi perhatian serius kerana ianya melibatkan sebuah institiusi yang tugasnya adalah untuk menjaga keamanan negara dan kebajikan rakyat, bukannya sebuah institiusi yang melayan rakyat yang tidak bersalah seperti penjenayah negara. Rakyat perlu bersuara apabila berlaku pencabulan ke atas hak asasi mereka. Keganasan dan ketidak adilan yang dilakukan oleh pihak yang berkuasa perlu dibongkarkan supaya masyarakat lain dapat melihat realiti demokrasi yang ada di dalam negara kita.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong pendirian yang dikeluarkan oleh pihak SUHAKAM dalam menentang keganasan yang dilakukan ke atas sebilangan rakyat Malaysia. Dewan Pemuda PAS juga meminta untuk sekalian mangsa dan saksi keganasan polis pada 9 Julai baru-baru ini untuk kita tampil bersama memberikan keterangan kepada pihak SUHAKAM.

*Kenyataan media oleh Nasrudin Hassan (gambar kanan) selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan: