Selasa, 26 Julai 2011

KEADILAN kesal kaitkan Dr Asri dengan Wahabi, keganasan

KEADILAN DAILY

PETALING JAYA: KEADILAN kesal tindakan mengaitkan sarjana muslim termasuk bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin dengan fahaman Wahabi dan aktiviti keganasan

Pengarah Komunikasi KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad berkata demikian mengulas tindakan kerajaan mempergunakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam menimbulkan isu itu.

Menurut Nik, menggelar dan mengaitkan seseorang dengan suatu fahaman dan aktiviti terorisme adalah tindakan mundur, bahkan tidak menyelesaikan masalah.

“Mungkin kerana Dr Asri bersuara lantang dan berbeza pandangan politik, maka dia dituduh (wahabi).

“Islam adalah budaya peradaban. Sekiranya kita tak bersetuju dengan suatu pandangan kita boleh berdebat, bukan dengan cara menangkap, menuduh atau mengaitkan seseorang dengan aktiviti keganasan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang menyatakan kebimbangan MKN terhadap beberapa tokoh agama di Malaysia, termasuk bekas Mufti Perlis itu dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

“Saya sendiri tak sentiasa bersetuju dengan pandangan Dr Asri. Tapi itu bukan sebab untuk saya menutup ruang dan haknya untuk bersuara.

“Hari ini orang Islam perlu sedar, bersikap terbuka dan bersaing secara berhujah. Kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita mahu orang bukan Islam tidak memandang agama Islam sebagai ganas, dalam masa yang sama kita tak boleh bersifat begitu,” jelas Nik Nazmi.

Tiada ulasan: