Kain rentang "Bersama Berhimpun untuk pilihanraya bersih dan adil", yang digantung di bangunan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH) sebelum ini, telah hilang dari tempat asalnya, petang tadi. Polis dan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditemui berada di perkarangan KL-SCAH pada ketika itu, namun tiada orang melihat dengan mata sendiri siapakah yang menurunkan kain rentang tersebut.
Setiausaha Agung KL-SCAH, Stanley Yong (gambar kanan) ketika dihubungi MerdekaReview berkata, staf KL-SCAH mendapati kain rentang tersebut telah hilang pada jam 3 petang, tadi. Bagaimanapun, tiada pegawai kerajaan mahupun mana-mana pihak yang menyatakan hasrat kepada KL-SCAH agar kain rentang itu diturunkan.
Stanley Yong berkata, menurut staf KL-SCAH, dua orang pegawai polis yang berpakaian uniform dan beberapa orang pegawai DBKL berada di kawasan letak kereta bangunan tersebut pada kira-kira jam 2 petang.
Bagaimanapun, KL-SCAH tidak tahu apakah tujuan mereka, malah tidak diberi notis, atau diaturkan pertemuan sebelum ini. Justeru itu, mereka tidak memerhatikan secara rapi tindak tanduk mereka di situ.
Tanpa diduga, stafnya mendapati kain rentang tersebut telah diturunkan pada kira-kira jam 3 petang, namun tidak sempat melihat siapakah dan bagaimanakah kain rentang itu diturunkan. Oleh yang demikian, Stanley Yong menganggap adalah tidak elok untuk menuding jari kepada sesiapa, memandangkan tiada orang yang melihat sendiri proses tersebut.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, mesej KL-SCAH adalah jelas, iaitu menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius tuntutan rakyat, meneliti reformasi sistem pilihan raya dan mengakui kesilapan yang berlaku. "Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah wajar, SPR harus menelitinya," kata Stanley Yong.
Meskipun kain rentang tersebut telah diturunkan, namun ia tidak bermakna KL-SCAH telah melupakan tuntutan reformasi sistem pilihan raya. Pada hakikatnya, "kerajaan harus memandang serius tuntutan ini, membina ruang demokrasi." katanya.
Ketika ditanya apakah tindakan susulan yang konkrit daripada KL-SCAH untuk menyokong tuntutan BERSIH 2,0, Stanley Yong berkata, mereka masih belum terfikir apa yang akan dilakukan seterusnya, sebaliknya menganggap, "Apa yang harus dikatakan telah dikatakan; apa yang harus dilakukan, telah dilakukan. Kini, bola berada di bawah kaki kerajaan. Kerajaan seharusnya memberi respon yang positif terhadap lapan tuntutan BERSIH 2.0," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan