Oleh: Sidiqin Omar
KUALA LUMPUR: Sekiranya kerajaan serius untuk membersihkan sistem pilihan raya di negara ini, pemerintah itu perlu melaksanakan semua tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Ia juga selaras dengan titah khas Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya kerajaan mengadakan rundingan dengan gabungan itu.
“Telah banyak penyelewengan berlaku dalam siri pilihan raya kecil. Maka, kita kemukakan 8 tuntutan ini, namun Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya bersikap seolah-olah pintu rundingan ditutup,” kata Senator Saiful Idzham pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurut Saiful, sekarang adalah masa sesuai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menemui pimpinan Bersih untuk mengadakan rundingan bagi menyelesaikan semua tuntutan berkenaan.
“Kita nak tengok reaksi Perdana Menteri. Tuanku Yang DiPertuan Agong telah bertitah untuk dirudingkan perkara ini.
“Kalau Perdana Menteri serius menjunjung titah, beliau perlu selesaikan perkara ini sebelum berangkat ke luar negara,” jelas Saiful.
Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan ke Eropah pada 8 Julai ini, sehari sebelum perhimpunan aman Bersih diadakan.
Bersih mengemukakan lapan tuntutan iaitu pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah pilihan raya dan menghentikan politik kotor.
Sementara itu Senator Mumtaz Md Nawi berkata, sehingga kini masih belum ada jawapan konkrit dari Perdana Menteri mahu pun Menteri berhubung tuntutan Bersih.
“Tuntutan ini bukan sekali dua kita buat, tetapi telah puluhan tahun dilakukan.
“Mesti ada keputusan konkrit dari Menteri dengan had masa yang ditentukan. Apakah tuntutan ini akan dilayan atau dibatalkan.
“Jangan ambil masa begitu panjang… sampai setahun,” kata Mumtaz.
Dalam pada itu, Senator Pakatan Rakyat dalam kenyataan media bersama mengutuk tangkapan terhadap aktivis Bersih dan penahanan ahli Parti Sosialis Malaysia di bawah Ordinan Darurat (EO)
“Hak untuk berhimpun dan berekspresi termaktub di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan Artikel 21 Deklarasi Hak Asasi Manusia.
“Tindakan ini jelas merupakan tekanan, yang bercanggah sendiri dengan polisi kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat.
“Kami mendesak kerajaan membebaskan tahanan politik dan mengehentikan tangkapan terhadap ahli politik pembangkang dan aktivis Bersih.
“Tuntutan kami adalah pilihan raya yang bebas dan adil,” kata kenyataan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan