Khamis, 14 Julai 2011

Jamuan negara sempena tamat tempoh Agong dicadangkan di Istana Negara baru

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Jamuan negara sempena tamatnya tempoh perkhidmatan Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Disember ini dicadangkan diadakan di Kompleks Istana Negara baru, yang terletak di atas bukit berhampiran Jalan Duta di sini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata jika kompleks itu siap sepenuhnya bulan depan, beliau akan memohon kepada Kabinet supaya jamuan negara diadakan di situ.

"Kami melihat daripada sudut persiapan sama ada boleh diadakan jamuan negara untuk majlis besar tersebut, jadi peralatan yang kami lihat menunjukkan bahawa Istana Negara baru itu boleh disiapkan menjelang Ogos," katanya selepas menghadiri Majlis Santai Makan Tengahari bersama menteri anjuran Media Prima Berhad di sini, hari ini.

Rais turut menyatakan rasa puas hatinya melihat hiasan dalaman kompleks itu mempunyai ciri-ciri warisan yang boleh menjadi khazanah kepada negara.

Pagi tadi, Rais meluangkan masa kira-kira sejam melawat lokasi pembinaan Kompleks Istana Negara baru bernilai RM800 juta itu.

Lawatan itu turut disertai Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Rais, yang diiringi Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf serta pegawai Jabatan Kerja Raya, kemudian meninjau ke bangunan utama kompleks itu.

Pembinaan kompleks itu, yang merangkumi tiga komponen utama iaitu Kompleks Istana Negara bernilai kira-kira RM650 juta, persimpangan bertingkat (RM130 juta) dan menaik taraf jalan (RM32.5 juta), bagi menggantikan Istana Negara yang sudah digunakan sejak 1928.

Pelantikan Tuanku Mizan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa 13 Disember 2006 bagi menggantikan Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, diisytiharkan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya.

Mesyuarat itu turut mengisytiharkan pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga untuk tempoh lima tahun, berkuatkuasa pada tarikh sama.

Tiada ulasan: