Isnin, 18 Julai 2011

Insiden Hospital Tung Shin: Kami sedia nanti polis, kata doktor


KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada 11 doktor Hospital Tung Shin sedia memberi kerjasama dengan polis yang memutuskan untuk mengadakan pasukan khas menyiasat dakwaan mereka bahawa pekarangan hospital itu menjadi sasaran gas pemedih mata dan air berasid, 9 Julai lalu.

Dr Ng Kwee Boon, yang bertugas sebagai perunding Obstetrik dan Pakar Sakit Puan berkata, beliau sedia memberi kerjasama jika polis mahu membuat siasatan mengenai perkara tersebut.

“Kalau mereka hendak buat siasatan, kami sedia beri kerjasama. Tetapi buat masa ini, mereka masih lagi tidak ada jumpa saya. Saya sendiri akan menyediakan afidavit berkanun untuk tujuan siasatan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada 9 Julai lalu, dipercayai polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam kawasan Hospital Tung Shin untuk menangani perhimpunan Bersih 2.0.

Kelmarin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata pihaknya akan menubuhkan dua pasukan khas bagi menyiasat dakwaan 11 doktor Hospital Tung Shin di ibu negara.

Satu pasukan khas akan menyiasat dakwaan doktor-doktor manakala satu lagi pasukan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh kejadian itu.

“Kami (polis) akan menyiasat dahulu perkara yang berlaku termasuk mengambil keterangan daripada doktor, saksi dan petugas-petugas (polis) yang terlibat pada masa itu,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan Lembaga Hospital Tung Shin sendiri memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku ketika perhimpunan 9 Julai lalu, Dr Ng berkata, beliau sendiri tidak tahu mengapa mereka berkata sedemikian.

“Saya tidak tahu kenapa mereka cakap macam itu. Mereka tidak tahu apa-apa kerana tidak berada di situ,” ujarnya lanjut.

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, sekumpulan 11 doktor menegaskan mereka bersedia untuk menyediakan afidavit berkanun untuk mengatakan bahawa pihak polis ada melepaskan air berasid dan gas pemedih mata ke atas kawasan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina ketika perhimpunan 9 Julai.

“Kami, doktor-dotkor yang menurunkan tandatangan di bawah, tidak mahu menyertai polemik perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi mahu menjelaskan kebenaran tentang keadaan tidak selesa yang wujud (hari itu),” kata mereka.

Selain Ng, 10 doktor lain menandatangani kenyataan itu ialah Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.

“Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, Dr Musa enggan mengulas lanjut ketika dihubungi.

“Saya tidak mahu komen,” katanya lagi.

Tiada ulasan: