Khamis, 7 Julai 2011

IGP: Polis minta Bersih adakan himpunan di luar KL

TERKINI



KUALA LUMPUR — Polis telah meminta Bersih 2.0 agar mengadakan perhimpunan mereka pada Sabtu ini di luar ibu negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (gambar, depan) berkata langkah ini perlu demi kepentingan orang ramai yang tidak terlibat dalam pergerakan tuntutan pembaharuan pilihan raya.

“Saya mengesyorkan mereka agar mengadakan di luar Kuala Lumpur. Jangan menyebabkan kesesakan di Stadium Merdeka yang dekat dengan pusat bandar raya dan menyebabkan gangguan,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Bersih 2.0 termasuk ketuanya Datuk Ambiga Sreenevasan petang ini.

Bagaimanapun Ambiga memberitahu pemberita bahawa Bersih 2.0 akan meneruskan usaha mereka memohon kebenaran untuk menggunakan Stadium Merdeka.

“Dia degil,” kata Ismail apabila ditanya mengenai pendirian tegas Ambiga.

Ismail juga menolak tanggapan bahawa Stadium Merdeka merupakan lokasi yang paling stadium atas alasan ia mudah dihubungkan dengan pengangkutan awam.

“Ia (alasan) itu tidak munasabah,” katanya.

“Mengapa perlu ambil risiki dengan di kawasan yang berisiko sedangkan anda boleh mendapatkan tempat yang lebih selesa di kawasan lain,” katanya.

Menurut Ismail, lokasi bukan tempat, tetapi mesej yang hendak disampaikan.

“Meskipun mereka mengadakan di Stadium Darul Aman (di Kedah), orang ramai akan menerima mesej (yang hendak disampaikan),” katanya lagi.

Tiada ulasan: