KUALA LUMPUR — Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membidas Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sambil menyifatkan gesaan agar kerakyatan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai “mengarut”.
Menurut sektariat Suaram Fadiah Nadwa Fikri, gesaan yang dibuat Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas itu menunjukkan pemimpin bersuara lantang itu ketinggalan zaman.
“Gesaan itu adalah sesuatu yang ketinggalan zaman, kalau kita duduk di zaman batu atau zaman gelap ia boleh (dilucutkan) tapi kita duduk dalam negara yang ada Perlembagaan.
“Ia adalah sesuatu yang mengarut untuk melucutkan kerakyatan,” katanya pada sidang media di sini.
Tegas beliau, Himpunan Bersih 2.0 yang didakwa disertai 50,000 peserta pada kelmarin sama sekali tidak melanggar titah Yang di-Pertuan Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Kita tidak melanggar perintah, kita nak berarak ke Stadium Merdeka tapi dihalang... kita bukan boleh terbang dan tiba-tiba jatuh di stadium.
“Kita tidak melanggar apa-apa perintah,” katanya.
Ibrahim (gambar) menyifatkan peserta perhimpunan itu sebagai penderhaka kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau juga menggesa agar kerakyatan Ambiga dilucutkan.
“Ambiga sudah diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi akhirnya melawan titah Tuanku. Kalau di Thailand orang seperti ini sudah dihalau dan dilucutkan kerakyatannya,” Ibrahim.
Tambah Fadiah Nadwa, pihaknya kini sedang mengumpul bukti keganasan polis yang menangani perhimpunan itu sebelum tindakan susulan diambil.
Beliau juga meminta mana-mana peserta yang dikasari polis agar memaklumkan perkara itu kepada Suaram.
Ditanya mengenai kematian peserta Himpunan Bersih 2.0 Allahyarham Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas didakwa terkena air berasid dan gas pemedih mata, Fadiah Nadwa berkata maklumat masih lagi dikumpulkan.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan keluarga Baharuddin akan mengambil tindakan undang-undang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan