Khamis, 21 Julai 2011

Gaji minimum: MTUC akan minta Parlimen betulkan jika menteri silap


KUALA LUMPUR — Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan meminta Parlimen membetulkan maklumat pada penyata mesyuarat sidang jika benar telah dimaklumkan bahawa badan induk kesatuan sekerja itu pernah bersetuju dengan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang diluluskan baru-baru ini.

Setiausaha Agungnya Abdul Halim Mansor (gambar) berkata, pihaknya masih dengan kekal dengan pendirian bahawa MTUC tidak pernah dimaklumkan ataupun diajak berbincang secara formal selepas rang undang-undang itu digubal.

“Mengenai isu itu, memang kita tidak pernah bersetuju atau diberitahu mengenai rang undang-undang itu, sebelum ia dibawa ke Parlimen,” kata Halim.

“Pendirian Majlis Am MTUC (yang bermesyuarat 6 Julai lalu) ialah MTUC akan meneliti penyata mesyuarat Dewan Rakyat, dan jika benar Menteri Sumber Manusia ada mengatakan MTUC sudah pun bersetuju dengan akta ini, maka kami akan menulis kepada Parlimen, akan meminta supaya mengambil tindakan membetulkan maklumat itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya, kepimpinan MTUC sedang meneliti kandungan penyata mesyuarat.

“Kami sedang mendapatkan penyata Parlimen . . . sebab kami tidak pernah bersetuju ataupun diadakan perbincangan formal,” kata beliau.

Halim menambah, MTUC tiada kuasa untuk mengambil tindakan ke atas menteri berkaitan, tetapi hanya boleh memaklumkan kepada Parlimen agar dibuat demikian supaya rakyat khususnya ahli-ahli MTUC tidak terkeliru.

The Malaysian Insider difahamkan perkara tersebut ada dibangkitkan ketika pertemuan kepimpinan MTUC dengan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia mengenai rasa tidak puas hati kongres itu mengenai gaji minimum Isnin lalu.

Halim ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Kokus Pekerja Parlimen Abdullah Sani Abdul Hamid yang menimbulkan persoalan sama ada Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam atau MTUC yang bercakap benar dalam isu terbaru berkaitan dengan undang-undang mengenai gaji minimum kebangsaan.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider minggu lalu, MTUC dan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan secara formal mengenai kandungan Rang Undang-undang Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, yang diluluskan oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara baru-baru ini.

“Ketika saya menimbulkan perkara ini di Dewan Rakyat, Menteri Sumber Manusia berkata kepimpinan dulu (sebelum Disember 2010) tidak setuju dengan dasar gaji minimum, tetapi kepimpinan sekarang sudah bersetuju,” kata Abdullah Sani.

“Jadi siapa yang cakap benar dalam isu ini sekarang? Jika menteri berbohong, saya akan membawa usul ke atas menteri pada sesi Parlimen Oktober ini, mendakwa menteri sudah mengelirukan di Dewan (Rakyat),” kata beliau.

Abdullah Sani juga berkata, tidak logik kedua-dua kepimpinan MTUC dan MEF boleh berbohong dalam hal ini memandangkan mereka memberi pendirian yang sama.

“Mengikut semangat tiga pihak, kerajaan sepatutnya membawa mana-mana rang undang-undang mengenai dasar perburuhan ke NLAC (Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan) . . . ini sepatutnya dibuat. Apa jadi sekarang, saya tidak pasti,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen PKR dari Kuala Langat ini menambah, perkembangan terbaru ini menunjukkan bahawa pendirian Putrajaya mahu memperkenalkan dasar gaji minimum berhadapan dengan ketidaktentuan dan dilema kemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.

Tiada ulasan: