Khamis, 21 Julai 2011

Fahaman Komunis : PSM Timbang Tindakan Undang-undang

Ditulis oleh Nur Atiqah Abd Samad


SHAH ALAM : Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyatakan pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama wakil peguam terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap dakwaan mencemar nama baik parti itu.

Ini berikutan, dakwaan aktivis cuba menghidupkan semula fahaman komunis sekali gus melancarkan perang terhadap Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya, Dr. Nasir Hashim berkata dakwaan sesetengah pihak terutama media arus perdana yang dikawal Umno-Barisan Nasional(BN) telah memanipulasikan perkara itu sebelum polis melakukan siasatan terhadap enam anggota PSM terbabit.

"Kerana mereka (polis) menimbulkan masalah bahawa kami (PSM) seolah-olah berfahaman komunis dan hendak lancarkan perang kepada Agong. Segala perkara teruk dilepaskan kepada kami, walhal tiada apa-apa dalam afidavit menunjukkan ia sebegitu," tegasnya.
"Kita akan hubungi peguam bagi mendapatkan pandangan mereka. Kami juga akan pertikaikan tindakan akhbar yang sengaja melaporkan berita-berita untuk memburukkan PSM semata," katanya memberitahu Tvselangor.

Berdasarkan laporan media semalam, PSM mencabar dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz sama ada enam pemimpin terbabit ditahan di bawah Ordinan Darurat kononnya ada kaitan dengan usaha menghidupkan semula fahaman komunis.

Peguam PSM Edmund Bon berkata, perkara itu sangat jelas berdasarkan kandungan 37 afidavit yang diserahkan kepada polis kelmarin sebagai respons kepada permohonan habeas corpus, sekali gus menunjukkan polis hanya menyoal siasat keenam-enam mereka, didakwa mendalangi perhimpunan Bersih 2.0.

Selain Jeyakumar, mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat ialah Sukumaran Munisamy, Letchumanan Aseer Patham, Choo Chon Kai, Sarasvathy Muthu dan Sarat Babu Raman.
Enam individu yang ditahan itu pada mulanya didakwa berniat melancarkan peperangan terhadap Yang DiPertuan Agong di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan.

Kesemua mereka ditahan di Tol Sungai Dua, Kepada Batas dua minggu sebelum perhimpunan Bersih 2.0 dijadualkan berlangsung di ibu negara.

Tiada ulasan: