Rabu, 6 Julai 2011

Enam pemimpin PSM fail habeas corpus dibebas segera

THE MALAYSIAN INSIDER



Peguam Yudistra Darma Dorai dan Edmund Bon melihat pada dokumen selepas memfailkan permohonan habeas corpus hari ini. – Foto oleh Choo Choy May
KUALA LUMPUR– Enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D. Michael Jeyakumar, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 hari ini memfailkan permohonan habeas corpus supaya dibebaskan dengan segera.

Mereka memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Jenayah, di sini, pada 3.30 petang melalui firma guaman Tetuan Raj, Ong & Co dengan menamakan Ketua Polis Negara, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Selain Dr Jeyakumar, 56, mereka yang lain ialah Sukumaran Munisamy, 50; Letchumanan Aseer Patham, 49; Choo Chon Kai, 33; Sarasvathy Muthu, 58, dan Sarat Babu Raman, 25.

Permohonan habeas corpus itu dibuat atas alasan bahawa peguam dan anggota keluarga mereka tidak mendapat akses untuk menemui mereka walaupun telah beberapa kali memohon kepada pihak polis.

Laporan Bernama Online menyebut, dalam permohonan itu, mereka mendakwa tidak menghubungi keluarga atau pun peguam mereka sejak ditahan Sabtu lepas di bawah Seksyen 3(1) ordinan berkenaan.

Permohonan itu turut disertakan dengan notis perakuan segera melalui peguamnya Yudistra Darma Dorai supaya mahkamah mendengar kes itu dengan segera.

Yudistra, yang hadir ke mahkamah, memberitahu media bahawa polis Bukit Aman telah membenarkan pihaknya dan keluarga keenam-enam tahanan itu berjumpa dengan tahanan itu esok.

Tiada ulasan: