Jumaat, 1 Julai 2011

Dua firma Australia dicaj sogok pegawai Malaysia, dua negara lain

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis Persekutuan Australia mendakwa dua firma mencetak mata wang dan enam bekas pegawai kanannya kerana memberi rasuah kepada pegawai-pegawai asing termasuk dari Malaysia untuk mendapatkan kontrak membekalkan mata wang.

Securency International Pty Ltd — salah satu firma utama di dunia mencetak mata wang — dan Note Printing Australia Ltd didakwa memberi sogokan dalam bentuk duit dan biasiswa universiti kepada pegawai-pegawai kerajaan Indonesia, Malaysia dan Vietnam antara 1999 dan 2005.

Menurut laporan AFP hari ini, ketua Polis Persekutuan Australia Chris McDevitt berkata kesemua enam rakyat negara itu berusia antara 50 dan 66 tahun dan pernah memegang jawatan penting sebagai ketua eksekutif, ketua pegawai kewangan dan ejen jualan bagi Securency atau Note Printing Australia Ltd.

Tertuduh terdiri daripada Myles Curtis, John Leckenby, Mitchell Anderson, Peter Hutchinson, Barry Brady dan Rognvald Marchant.

Mereka dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 11.5(1) dan 70.2(1) Akta Kanun Jenayah 1995, yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan atau denda A$1.1 juta. (sekitar RM3.6 juta).

McDevitt juga berkata siasatan masih dijalankan dan kemungkinan ada dakwaan susulan.

Dakwaan itu dibuat selari dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas dua orang iaitu bekas penolong gabenor Bank Negara dan seorang ahli perniagaan masing-masing di Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Menurut kenyataan media yang diperoleh dari laman web Polis Persekutuan Australia, pihaknya telah memulakan siasatan ke atas kedua-dua syarikat itu sejak dua tahun lalu.

Menurut pihak berkuasa itu, pengurus-pengurus kanan kedua-dua firma berkenaan menggunakan ejen-ejen jualan antarabangsa untuk memberi rasuah bagi memperoleh kontrak mencetak nota mata wang di negara-negara terbabit.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurus-pengurus kanan dari kedua-dua firma berkenaan menggunakan ejen-ejen jualan antarabangsa untuk memperoleh kontrak mencetak mata wang.

“Polis menahan enam bekas pekerja kanan syarikat-syarikat dalam satu siri tangkapan awal pagi ini di negeri Victoria.

“Pihak berkuasa Malaysia yang turut bekerjasama dengan polis Australia juga menahan dua orang ekoran siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” kata laporan Associated Press.

Securency, yang berpejabat di Craigieburn, utara Melbourne, merupakan syarikat separuh ada milik Reserve Bank of Australia iaitu bank pusat negara itu.

Syarikat tersebut merupakan perintis dalam bisnes mengeluarkan nota mata wang polimer dan menyediakan khidmat bagi 31 negara termasuk Australia, New Zealand, Vietnam dan Brazil.

Note Printing Australia Ltd, yang turut berpejabat di Craigieburn, merupakan syarikat milik penuh Reserve Bank of Australia dan pencetak pertama menghasilkan mata wang polimer.

Ia merupakan pendakwaan pertama di bawah undang-undang rasuah asing yang dikuatkuasakan oleh Canberra pada 17 Disember 1999.

“Siasatan Polis Persekutuan Australia dijalankan serentak dengan soal siasat yang dikendalikan oleh pasukan penguat kuasa undang-undang antarabangsa, melibatkan kerjasama signifikan Pejabat Penyelewengan Serius (SFO), SPRM, Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Polis Kebangsaan Indonesia,” kata kenyataan Polis Persekutuan Australia lagi.

Kenyataan itu menambah, seorang pegawai kerajaan dari Indonesia menerima sogokan bagi mendapatkan projek usaha sama bagi pihak Securency dan Note Printing Australia Ltd manakala di peringkat Malaysia pula, seorang pegawai kanan diberi rasuah untuk mendapatkan kontrak bagi Note Printing Australia Ltd.

Malah menurutnya, seorang pegawai kerajaan Vietnam pula menerima rasuah dalam bentuk biasiswa universiti bagi mendapatkan kontrak bagi pihak Securency.

Gabenor Reserve Bank of Australia Glenn Stevens yang dipetik laporan Associated Press berkata tiada pihak dalam bank pusat tersebut didakwa terlibat dalam kes terbaru ini.

“Reserve Bank of Australia mengecam keras amalan rasuah ini,” kata Stevens.

Perdana Menteri Australia enggan mengulas kes ini buat masa sekarang.

Tiada ulasan: