Selasa, 26 Julai 2011

DBKL batal saman penduduk diputus 11 Ogos

BERNAMA


Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Ogos ini untuk memutuskan permohonan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membatalkan saman penduduk Ladang Bukit Jalil berhubung notis pengusiran dan merobohkan rumah mereka.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu dalam kamar selepas mengadakan perjumpaan dengan peguam Muhammad Afiq Mohamad Noor, yang mewakili 41 penduduk yang merupakan bekas pekerja ladang dan Ashmadi Othman yang mewakili Datuk Bandar Kuala Lumpur.

NONEAshmadi memberitahu media bahawa beliau telah mengemukakan hujahan bertulis kepada hakim hari ini manakala Muhammad Afiq akan berbuat demikian sebelum 10 Ogos ini.

Pada 14 Mac lepas, penduduk ladang berkenaan memfailkan saman terhadap Datuk Bandar Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa mereka mempunyai hak eksklusif dan ekuiti terhadap tanah itu, mereka juga memfailkan permohonan injunksi sementara untuk menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

Pada 10 Mei lepas, Hakim Zabariah menolak permohonan mereka untuk injunksi sementara bagi menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

Bagaimanapun, mereka berjaya memperoleh injunksi sementara daripada Mahkamah Rayuan sementara menunggu rayuan mereka didengar berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah Rayuan akan mendengar kes itu pada 10 Ogos ini.

Ladang Bukit Jalil, sebelum ini berkeluasan 7,200 hektar berkurangan kepada 10.4 hektar selepas pembangunan pesat di kawasan itu.

Pada perbicaraan untuk mendengar permohonan injunksi 27 April lepas, mahkamah diberitahu DBKL menyerahkan tanah (10.4 hektar) itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk dijadikan kawasan perkuburan Islam.

Peguam Ragunanth Kesavan yang mewakili penduduk berhujah penduduk berkenaan bukan setinggan kerana mereka tidak menceroboh kawasan berkenaan dan tinggal di situ selepas tanah itu dijual kepada pemaju swasta.

Ashmadi berhujah bahawa Datuk Bandar hanya menjalankan tugasnya dengan mengeluarkan notis pengusiran itu dan saman terhadap Datuk Bandar adalah tidak wajar.

Tiada ulasan: