Rabu, 27 Julai 2011

Dakwat kekal pilihan terbaik jangka masa terdekat – NIEI

Oleh: Ahmad Fadli

KUALA LUMPUR: Penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya umum akan datang adalah pilihan terbaik buat masa ini untuk mengatasi masalah daftar pengundi yang tidak bersih.

Demikian dinyatakan Setiausaha Agung, National Institute for Democracy and Electoral Integrity (NIEI), Amin Iskandar.

“Dalam jangka masa terdekat, dakwat kekal adalah pilihan terbaik,” kata beliau merujuk kepada perbandingan antara penggunaan dakwat kekal dan juga sistem biometrik yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk dilaksanakan dalam pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya lagi, penggunaan dakwat kekal sudah dilaksanakan di banyak negara Asia yang lain seperti Afghanistan, Bangladesh, dan India.

“Dakwat kekal ini sudah diterima di peringkat antarabangsa jadi negara-negara ini juga mengikut amalan yang baik,” katanya yang pernah memantau pilihan raya di negara-negara berkenaan.

Semalam, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Datuk Ambiga Sreenevesan berkata, kebimbangan NGO itu adalah sistem biometrik akan dilaksanakan pada pilihan raya umum ke13.

Ini kerana jangkaan beliau bahawa sistem baru itu memerlukan percubaan dan kajian secara mendalam selain ia perlu dijelaskan kepada rakyat.

Ambiga berkata demikian pada wacana “Apa Selepas 9 Julai” anjuran Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, bersama Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Omar

Mengulas mengenai program seumpama itu, Amin berkata ia merupakan satu langkah yang baik dan perlu diadakan selalu antara SPR, NGO dan parti-parti politik.

“Debat semalam bagus, perlu adakan selalu, sebab ia amalan biasa dalam negara demokrasi. Penglibatan perlu ada antara Bersih dan SPR,” katanya.

Tiada ulasan: