Rabu, 13 Julai 2011

BN perlu guna komunikasi politik lebih baik, kata Saifuddin Abdullah




KUALA LUMPUR — Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan komunikasi politik yang lebih baik sekiranya mahu mendapatkan semula sokongan rakyat ekoran Himpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Ini kerana jelas beliau, perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan disokong Pakatan Rakyat akan meninggalkan kesan terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno ini berkata, beliau (gambar) secara tegas tidak menyokong Himpunan Bersih 2.0 dan lapan tuntutan yang dikemukakan namun kesal dengan kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Saya tidak menyokong Bersih dan perhimpunannya. Tapi saya juga tidak bersetuju dengan kata-kata kesat yang dilontar terhadap Bersih serta pihak-pihak lain... ini kerana saya menyeru budaya politik yang sihat dan segar.

“Saya juga tidak setuju menggunakan fatwa haram terhadap perhimpunan itu. Istilah polis, iaitu perhimpunan haram adalah memadai, oleh itu saya mahu supaya kita meningkatkan kebebasan bersuara di negara ini.

“BN perlu menggunakan komunikasi politik yang lebih baik selepas ini kerana sedikit sebanyak perhimpunan Bersih itu ada meninggalkan kesan,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau yang sejak minggu lalu diserang di laman Twitter dan blogger pro-Umno menegaskan, sama sekali tidak menyokong Himpunan Bersih 2.0 seperti mana yang didakwa.

Malah tegas Saifuddin, sekiranya perhimpunan itu mendapat permit, beliau juga tidak akan menyertainya kerana tidak menyokong lapan tuntutan Bersih.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

“Seperti dalam Twitter dan Facebook, saya tidak menyokong Bersih. Saya menyeru politik baru yang terdiri daripada empat perkara iaitu integriti politik, kerangka pentadbiran baru, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif.

“Justeru saya faham apa yang dibawa oleh Bersih... ‘faham’ tidak sama dengan ‘sokong’, kalau pun saya setuju dengan satu daripada tuntutannya, itu juga tidak sama dengan sokong,” kata Saifuddin.

Tambah wakil rakyat BN ini, beliau tidak bersetuju dengan perhimpunan anjuran Bersih itu kerana ia “perhimpunan haram.”

“Apa yang saya sokong ialah perhimpunan aman kerana ia sebahagian daripada amalan demokrasi tetapi ia mesti diadakan dengan cara yang sesuai.

“Pada saya antara cara yang sesuai ialah seperti yang dicadangkan Suhakam, sekiranya kita menggunakan cadangan Suhakam ada kemungkinan perhimpunan Bersih itu dapat diadakan dengan permit polis dan aman,” kata Saifuiddin sambil menambah, beliau hanya menyokong perhimpunan dibuat secara aman.

Suhakam sebelum ini berkata bahawa rakyat Malaysia berhak berhimpun secara aman seperti yang terkandung dalam Perkasa 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkasa 20 (1) Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Himpunan Bersih 2.0 pada asalnya adalah satu perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara bagi memohon transformasi pilihan raya yang perlu dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun Putrajaya melalui Kementerian Dalam Negeri menyifatkan ia sebagai perhimpunan haram yang boleh menggugat keselamatan negara.

Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Bersih 2.0 dan ahli-ahli politik kebanyakannya dari Pakatan Rakyat ditahan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Tiada ulasan: