Jumaat, 15 Julai 2011

Bersih: Yayasan T'ganu jangan main politik kotor

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Yayasan Islam Terengganu (Yit) diminta menyiasat secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan ke atas pelajar tajaannya yang turut menyertai perhimpunan di Kaherah, Mesir untuk bersama-sama menyokong rakyat Malaysia menjayakan perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Setelah siasatan dijalankan, Yit perlu memaklumkan kesalahan pelajar terbabit kepada orang ramai dan bentuk tindakan yang akan dikenakan kepadanya sebelum tindakan dikenakan.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut menjelaskan, langkah tersebut perlu dilakukan oleh Yit, memandangkan pelajar tersebut hanya hendak dikenakan tindakan oleh Yit disebabkan menyertai perhimpunan di Kaherah bagi menyokong perhimpunan tersebut.

Menurut beliau, sedangkan tindakan yang dilakukan oleh pelajar terbabit bukanlah satu kesalahan, malah ia turut dilakukan oleh pelajar-pelajar lain di 24 buah negara di seluruh dunia pada 9 Julai lalu.

Katanya, mengadakan perhimpunan untuk menyuarakan sesuatu pandangan bukanlah satu kesalahan dan setiap pihak tidak wajar bertindak ke atas sesiapapun jika hanya disebabkan individu terbabit menyertai sesuatu perhimpunan.

"Jadi dalam hal ini, Yit perlu bertindak secara profesional. Janganlah terbawa-bawa sangat dengan permainan politik kotor sehingga boleh merugikan orang lain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Yayasan Islam Terengganu (Yit) semalam yang mahu mengambil tindakan ke atas seorang pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar kerana menyertai perhimpunan di Kaherah bersama pelajar-pelajar lain bagi menyokong perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Selain di Kaherah, Mesir, rakyat Malaysia di 24 buah negara lain di seluruh dunia turut mengadakan perhimpunan dengan kelompak mereka tersendiri pada hari yang sama bagi menyokong langkah Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu.

Di antara mereka yang menyertai perhimpunan aman di luar negara itu ada yang turut memakai baju kuning, manakala perhimpunan tersebut diadakan dengan aman serta turut mendapat kebenaran dan kerjasama kerajaan-kerajaan negara terbabit.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mohd Abdul Wahid berkata, jika hendak bertindak ke atas seseorang, Yit perlu memastikan individu terbabit benar-benar melakukan kesalahan, bukannya hanya disebabkan seseorang itu menyertai perhimpunan bagi menyokong perhimpunan aman Bersih 2.0.

"Sekiranya tindakan yang hendak diambil ke atas pelajar itu disebabkan beliau memakai baju kuning pada hari itu, ia tentunya amat melucukan kerana memakai baju kuning bukanlah satu kesalahan dari sisi undang-undang sama ada di negara kita dan di mana-mana tempat sekalipun di dunia ini," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu.

Tambahan pula setahu beliau, para pelajar dan rakyat Malaysia di luar negara tidak terikat terhadap sebarang undang-undang rimba Malaysia terutama Seksyen 27 Akta Polis seperti di Malaysia yang melarang lebih 5 orang berkumpul tanpa permit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, perkara itu amat berbeza dengan tindakan yang dilakukan oleh seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) baru-baru ini yang jelas menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman webnya.

"Kepada pelajar itu memang patutlah dikenakan tindakan kerana beliau ternyata melakukan satu kesalahan. Itu pun tidak boleh diambil tindakan dengan sewenang-wenengnya tetapi mestilah disiasat dengan terperinci terlebih dahulu. Jika sudah terbukti pelajar itu melakukan kesalahan barulah boleh dikenakan tindakan," tegasnya.

Manakala ke atas pelajar dari Terengganu yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar yang menyertai perhimpunan itu, beliau menasihatkan Yit agar melakukan siasatan terperinci sebelum mengenakan tindakan terhadapnya, dengan turut memahami undang-undang dan peraturan di negara kita dan di negara berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, PAS Terengganu akan mengadakan majlis meraikan rakyat Terengganu yang ditangkap oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Majlis tersebut akan diadakan di perkarangan Masjid Rusila, Marang selepas solat Isyak malam ini, manakala jumlah mereka yang akan diraikan itu pula seramai lebih 200 orang.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan dua orang Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub turut terlibat dalam majlis itu.

"Mereka yang diraikan itu akan dipersilakan naik ke pentas. Selepas itu, majlis akan dilangsung dengan ceramah yang akan disampaikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi, Mohamad Sabu, Datuk Mahfuz dan Salahuddin Ayub," katanya.

Bagaimanapun, hari ini, Mohamad Sabu yang mengalami kecederaan lutut dan kaki akibat motorsikal yang ditumpanginya sengaja dilanggar oleh pihak polis dalam perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, sedang menjalani pembedahan di sebuah hospital di Petaling Jaya.

"Sekiranya Mohamad Sabu tidak dapat hadir, ceramah beliau itu akan diadakan juga dengan penayangan video yang membabitkan beliau untuk ditonton oleh orang ramai," jelas beliau.

Tiada ulasan: