"Sila laksana pilihan raya yang adil dan terima tuntutan Bersih, jika tidak mahu rakyat berdemo," kata Idris Ahmad.
PETALING JAYA – Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Idris Ahmad mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa jika beliau tidak mahu rakyat berdemo, maka sila laksana pilihan raya yang adil dan terima tuntutan Bersih.
“Beliau mengatakan demo bukan budaya kita. Sepatutnya beliau kena fikir kenapa rakyat berani untuk berdemo walaupun rakyat ditakutkan dengan berbagai ugutan.
“Beliau tidak boleh mendabik dada kononnya Barisan Nasional (BN) kuat jika berlawan di atas padang yang tidak sama rata. Jika benar beliau anak jantan sila biarkan pilihan raya berjalan dengan adil.
“Bebaskan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) daripada belenggu pemimpin BN. Biarlah BN berlawan parti melawan parti, bukan kerajaan melawan parti.
“Beri peluang untuk Pakatan Rakyat (PR)menggunakan televisyen untuk membentang polisi dan rancangan PR supaya rakyat menjadi hakim negara,” kata Idris.
Menurut Idris yang merupakan bekas Ketua Penerangan PAS, demonstrasi yang dibuat oleh pihak Bersih pada 9 Julai adalah setelah usaha perundingan dan perbincangan yang dibuat dengan pihak SPR tidak dilayan dengan baik terutamanya penggunaan dakwat kekal.
“Rakyat tertanya-tanya kenapa kerajaan takut menggunakan dakwat kekal. Sebelum pilihan raya umum (PRU) 2008, SPR sudah membeli dakwat kekal yang bernilai RM2.4 juta, akhirnya dibatalkan penggunaannya.
“Najib dan SPR mengumumkan untuk mengguna sistem biometrik di dalam PRU akan datang untuk menunjukkan pilihan raya di negara ini adil. Seolah-olah kita meminta teh, tetapi yang dibawanya kopi,” jelas Idris.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan