Selasa, 19 Julai 2011

Bersih tidak pandang ringan untuk adakan himpunan lagi- Ambiga

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengerusi Bersih 2.0, S. Ambiga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan satu lagi himpunan aman sekiranya kerajaan gagal memenuhi tuntutan NGO itu untuk melaksanakan sistem pilihan raya yang adil dan bebas.


Sekaligus, beliau menafikan laporan media sebelum ini bahawa himpunan seperti itu tidak akan diadakan lagi selepas 9 Julai.

“Ada laporan mengatakan bahawa saya ada menyebut tidak akan ada lagi perhimpunan. Ini tidak tepat dan saya melihat para menteri mengulangi (perkara ini).

“Apa yang saya sebutkan ialah tidak akan ada perhimpunan dalam waktu terdekat. (Tetapi) kami tidak memandang ringan (idea) untuk mengadakan perhimpunan sedemikian (pada masa akan datang),”

“Kami akan terus mengambil langkah-langkah sedemikian untuk memberi tekanan berhubung soal pembaharuan sistem pilihan raya tetapi apa yang kami harapkan ialah penglibatan aktif bersama pihak berkuasa dalam perkara ini,” kata beliau seperti dilapor The Malaysian Insider hari ini.

Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata, kerajaan telah “mengabai perkara” sewajarnya dengan mengeluarkan ugutan dan bahawa lebih banyak halangan ke atas perhimpunan-perhimpunan pada masa depan sedangkan sewajarnya pihak berkuasa mengambil langkah untuk menangani tuntutan yang diketengahkan pada 9 Julai lalu.

Bersih 2.0 mengemukakan lapan tuntutan iaitu pembersihan senarai undi, reformasi undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, masa kempen minima 21 hari, memperkukuh institusi awam, menghentikan rasuah dan menamatkan politik kotor.

Perhimpunan anjuran NGO itu pada 9 Julai lalu menyaksikan pelbagai tekanan dan halangan oleh pihak berkuasa, termasuk menangkap orang ramai yang berpakaian kuning.

Pada hari himpunan dijalankan polis bertindak ganas dengan menutup jalan, menyerang peserta himpunan dengan gas pemedih mata dan semburan kimia, membelasah orang ramai dan menangkap lebih 1,600 peserta.

Malah ia turut mengorbankan seorang peserta, Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dipercayai akibat serangan gas oleh pasukan polis.

Tiada ulasan: