Selasa, 19 Julai 2011

Bersih: Tak perlu nafi, bukti keganasan polis banyak di internet – Nik Nazmi

Oleh: Nabihah Hamid

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sudah terlambat untuk kerajaan menyiarkan rakaman polis mengenai keganasan yang kononnya dilakukan peserta himpunan Bersih 9 Julai lalu.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim semalam bahawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia menyiarkan rakaman polis mengenai keganasan yang dilakukan peserta perhimpunan itu.

Ia susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu polis segera menyiarkan rakaman itu, kelmarin.

Sebaliknya, kata Nik Nazmi, kerajaan sepatutnya menjawab dahulu rakaman mengenai keganasan polis yang banyak disiarkan di internet seperti laman Youtube dan Facebook.

“Sudah terlambat untuk menyiarkan bukti-bukti yang menafikan keganasan polis. Beliau (Rais Yatim) sepatutnya melihat bukti yang telah lama disiarkan di internet,” katanya kepada Keadilandaily.

Katanya, banyak bukti menunjukkan peserta mengalami kecederaan akibat keganasan polis termasuk kes peserta yang patah kaki dan diikat tangannya tetapi dibiarkan begitu saja tanpa diberi rawatan secepat mungkin.

“Saya juga hairan kenapa kerajaan yang mempunyai peruntukan yang berjuta-juta ringgit tapi mengambil masa yang lama untuk menyiarkan video bukti tersebut,” katanya yang juga ADUN Seri Setia.

Tambahnya, rakyat juga mempersoalkan kredibiliti RTM yang diketahui lebih suka menyebarkan propanda dengan menyiarkan berita dan iklan yang memberi imej buruk terhadap perhimpunan Bersih.

“Kerajaan perlu ingat kerana RTM bukanlah UMNO yang punya, kerana yang membayar cukai adalah rakyat yang sebahagian menyokong pembangkang.

“Apa pun propaganda yang dibuat dari Kerajaan selepas ini, rakyat sudah lagi tidak percaya kerana RTM sudah tidak lagi mempunyai kredibiliti,” katanya.

Tiada ulasan: