Selasa, 26 Julai 2011

Bersih: Geli hati Rais suruh tengok video polis

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Geli hati apabila membaca seruan Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya rakyat hanya melihat video Bersih 2.0 yang ditayang oleh Polis Diraja Malaysia.

“Selepas ini mungkin Menteri Penerangan ini akan mencadangkan rakyat Malaysia hanya membaca Utusan Malaysia sahaja, kerana akhbar lain semunya tidak benar,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Katanya, saranan Rais di zaman ini untuk memaksa rakyat hanya mempercayai apa yang disiarkan oleh PDRM dan media kerajaan, sama seperti pepatah Arab menyebut "kamu boleh paksa kuda pergi minum air, tetapi kamu tidak boleh paksa kuda minum air".

“Macam mana beliau yang memegang kementerian ini tidak menyedari zaman revolusi maklumat,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, sekarang bukan zaman media yang wujud ketika beliau menjadi Timbalan Presiden Parti Semangat 46.

Sekarang, jelasnya ialah zaman lebuh raya maklumat yang begitu pantas.

Beliau berkata, tentu Rais masih ingat ketika isu tengkolok Tengku Razaleigh yang diputar belit oleh media mengatakan Tengku Razaleigh telah murtad kerana memakai lambang salib, sehingga pengundi Melayu telah menolak Parti Semangat 46 beberapa hari dalam pilihan raya tahun 1990.

Katanya lagi, zaman penipuan media yang dimonopoli oleh kerajaan BN sudah berlalu.

“Kita mengharapkan Rais Yatim juga bergerak sealiran dengan zaman sesuai dengan kementerian yang beliau ketuai.

“Jangan dikatakan orang menteri yang jaga mengenai komunikasi tidak bergerak mengikut peredaran zaman,” katanya lagi.

Tiada ulasan: