Khamis, 7 Julai 2011

BERSIH 2.0 yakin PM boleh mengarahkan agar Stadium Merdeka disewa

Leong Khong, Ong Vic Kee


Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan berkata, BERSIH 2.0 beralih untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka kerana janji Perdana Menteri Najib Razak. Justeru itu, beliau yakin bahawa PM mampu memberi arahan supaya pihak Stadium Merdeka menyewa tempat tersebut kepada BERSIH 2.0. Untuk Ambiga, kenyataan Najib sebelum ini adalah janji kerajaan persekutuan.

Ambiga (gambar kanan) berkata, BERSIH 2.0 mengandaikan mereka telah dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan di stadium berikutan kenyataan Najib. Mereka yakin bahawa kerajaan boleh mengarahkan agar Stadium Merdeka bersetuju untuk menyewakan tempatnya kepada BERSIH 2.0. "Saya akan terkejut seandainya Stadium Merdeka menolak permohonan kami," kata Ambiga.

Ambiga Sreenevasan berkata demikian dalam satu sidang media setelah dirinya bersama wakil BERSIH 2.0 yang lain, termasuk Wong Chin Huat, A. Samad Said dan Haris Ibrahim melangkah keluar dari Balai Polis Bukit Aman, kira-kira jam 3.25 petang tadi. Mereka masuk untuk bermesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Ismail Omar pada jam 2.18 petang.

Ambiga menambah, pihaknya diberitahu Stadium Merdeka bahawa permit polis perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum mereka menyewa tempat itu; namun polis pada hari ini pula mendakwa bahawa mereka boleh menyewa stadium tanpa permit polis. Oleh itu, BERSIH 2.0 akan menyewa Stadium Merdeka mengikut prosedur, dan kembali untuk memohon permit seandainya berjaya menyewa Stadium Merdeka.

Bagaimanapun, Ambiga memberitahu media, bahawa pihaknya telah menjelaskan kepada pihak polis, iaitu tempat perhimpunan tidak akan ditukar, memandangkan BERSIH 2.0 telah kesuntukan masa untuk memaklumkan kepada penyokongnya.

*Leong Khong dan Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal.

Tiada ulasan: