Isnin, 18 Julai 2011

Bersih 2.0 : SUHAKAM Siasat Dakwaan Keganasan Polis

Ditulis oleh Nur Atiqa Abd Samad



KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) akan mengadakan siasatan awam berhubung dakwaan orang awam bahawa mereka telah dipukul dan dikasari oleh polis dalam Himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Naib Pengerusi SUHAKAM, Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata penyerahan memorandum ini merupakan kali kedua yang diterima oleh suruhanjaya itu berkaitan dengan isu
perhimpunan Bersih.

Tindakan SUHAKAM mengambil langkah sedemikian supaya saksi dan mangsa yang dikasari tampil untuk memberi keterangan dan membuat aduan.

"SUHAKAM telah mengambil keputusan untuk mengadakan satu siasatan awam untuk mengatasi masalah ini, sebab itu saya tidak mahu testimoni diberikan pada pagi ini sebab akan diberikan pada hari tersebut," katanya.

Beliau mengumumkan demikian semasa penyerahan memorandum daripada peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang diketuai ahli jawatankuasa pemandunya, Maria Chin Abdullah, di sini hari ini.

Tambah Khaw lagi selain daripada orang awam, pihak berkuasa juga akan dipanggil untuk memberi keterangan ketika siasatan kelak.

Jelas beliau, pihaknya kini dalam proses untuk membuat persiapan dan akan membuat pengumuman untuk menentukan tempat dan tarikh siasatan awam itu diadakan yang dijangka pada bulan hadapan.

"Berkenaan dengan syarat-syarat yang akan dikenakan, SUHAKAM akan mengkaji terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan media untuk memberitahu syarat-syarat dan rujukan mengenai siasatan awam ini. Kita akan mengkaji memorandum yang telah dihantar dan testimoni yang diberikan pada Selasa lalu dan hari ini,"ujar beliau lagi.

Beliau juga memberitahu kepada pihak berkenaan supaya mengumpul testimoni atau saksi-saksi bagi memudahkan siasatan dijalankan.

Tambahnya, pihak SUHAKAM juga ada menghantar pasukan pemantaunya ketika Himpunan Bersih 2.0 dan akan menggunakan maklumat itu pada sesi siasatan awam nanti.

Selain daripada Khaw, dua lagi pesuruhjaya SUHAKAM iaitu Muhamad Sha’ani Abdullah dan James Nayagam turut mendengar aduan daripada peserta Bersih 2.0.

Rata-ratanya menceritakan tentang kesakitan fizikal dan penganiayaan yang dilakukan oleh polis.

Perhimpunan aman pada Sabtu lalu menyaksikan seramai 1,667 orang ditahan termasuk pimpinan Pakatan Rakyat.

Puluhan mengalami kecederaan akibat tindakan ganas polis dan seorang meninggal dunia ketika cuba melarikan diri dari asakan polis.

Tiada ulasan: