Khamis, 14 Julai 2011

Bersih 2.0: Suhakam adakan inkuiri awam, dijangka mula bulan depan

TERKINI

KUALA LUMPUR— Suhakam akan mengadakan inkuiri awam berhubung dakwaan tindakan keras polis ketika perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu.

Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata orang ramai dan pihak berkuasa akan dipanggil memberi keterangan masing-masing ketika inkuiri kelak.

Inkuiri dijangka akan diadakan bulan depan.

Khaw berkata Suhakam yang turut menghantar pasukan pemantaunya ketika perhimpunan Bersih 2.0 juga akan bergantung pada maklumat yang pihaknya telah kumpulkan.

Liew Seng Tat memberi keterangan awal pada pertemuan dengan wakil Suhakam hari ini. — Foto oleh Choo Choy May
Khaw mengumumkan demikian selepas menerima memorandum daripada peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang diketuai ahli jawatankuasa pemandunya Maria Chin Abdullah.

Beliau dan dua lagi pesuruhjaya Suhakam iaitu Muhamad Sha’ani Abdullah dan James Nayagam mendengar keterangan awal daripada peserta Bersih 2.0, yang mendakwa mereka berhadapan dengan kesakitan fizikal dan penganiayaan secara lisan ekoran pendekatan keras pihak polis.

Salah seorang peserta perhimpunan Bersih 2.0, Liew Seng Tat, sebahagian daripada kumpulan yang cuba mendapatkan perlindungan di Hospital Tung Shin berkata, dia ada nampak anggota polis menendang dan memijak beberapa peserta.

Katanya, anggota polis yang mengambilnya dari hospital itu ke lokap Pulapol secara berulang kali menampar pada mukanya walaupun tiada sebarang unsur provokasi atau sebab-sebab munasabah, dan dia dipukul menggunakan kayu dan ditumbuk di muka ketika melepasi garisan FRU.

Liew berkata seorang lagi anggota FRU mengambil tuala kotor yang basah dengan air berasid dan mengenakan pada mukanya.

Dr Khaw Lake Tee menerima memorandum daripada Maria Chin Abdullah. — Foto oleh Choo Choy May
“Saya boleh dengar dia kata, ‘ambil ini’. Apa berlaku selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu sebab muka saya pedih dan saya tidak boleh membuka mata saya,” katanya kepada panel tiga anggota Suhakam hari ini.

Seorang lagi peserta perhimpunan Bersih 2.0, yang hanya mahu dikenali sebagai Arun berkata, dia dipukul oleh polis ketika cuba meleraikan tindakan pihak berkuasa menahan seorang lagi peserta yang tidak melakukan sebarang provokasi.

“Mereka menundukkan saya, menggari saya terus dan memukul,” katanya.

Dia juga berkata seorang lagi anggota polis berkata, “bunuh dia.”

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang turut hadir berkata, lutut kanannya cedera selepas kereta polis merempuh motosikal yang beliau membonceng.

Bersih mendakwa kira-kira 50,000 orang muncul pada perhimpunan Sabtu lalu manakala pihak polis mendakwa hanya 6,000 orang muncul di ibu negara.

Perhimpunan itu yang diadakan tanpa permit polis telah menyebabkan hampir 1,700 orang ditahan termasuk beberapa ahli politik.

Seorang peserta, yang merupakan ahli PAS, didakwa meninggal dunia terkenan gas pemedih mata.

Polis berkata Baharuddin Ahmad meninggal dunia kerana komplikasi jantung.

Tiada ulasan: