Jumaat, 1 Julai 2011

Bersih 2.0: PKR kecam polis tahan dua wakil rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Polis menahan empat orang termasuk dua wakil rakyat pembangkang di sini hari ini kerana berkumpul dan mengagihkan baju-T serta risalah mengenai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias berkata dua wakil rakyat yang ditahan itu ialah Ahli Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Kedua-duanya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Mereka adalah antara empat orang yang ditahan kerana berkumpul dan membuat persiapan untuk mengagih baju-T serta risalah kepada orang ramai di Pasar Gunung Rapat di sini,” katanya dipetik Bernama Online.

Kesemua mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 (5) dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kesemua mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.

Semalam, polis menahan 14 orang termasuk dua wakil rakyat pembangkang di Sungai Siput kerana berkumpul dan mengagihkan baju-T serta risalah mengenai perhimpunan haram sama.

Dua wakil rakyat yang ditahan itu ialah Adun Jalong daripada DAP, Leong Mee Meng dan Adun Teja daripada PKR Chang Lih Kang.

Kesemua mereka kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan.

Tindakan polis itu dikecam oleh Ahli Parlimen Selayang dari PKR William Leong.

“Tiada undang-undang yang menyatakan bahawa memakai kemeja-T kuning atau apa sahaja warna adalah satu kesalahan. Polis menahan YB Dr Lee, YB Chan dan yang lain secara tidak sah,” katanya lagi.

Justeru kata Leong beliau mahu kerajaan Barisan Nasional menghentikan tindakan keras ke atas aktivis Bersih 2.0 dan biarkan rakyat berhimpun dengan bebas dan aman.

Tiada ulasan: