Oleh Muhamad Izwan
Rakyat Malaysia yang turun ke jalan raya ibu kota Kuala Lumpur pada 9 Julai telah membuktikan sesuatu iaitu tembok perkauman telah dipecahkan.
Sekian lama dimomokkan dengan isu perbalahan kaum dan persengketaan atas nama bangsa dan agama, akhirnya rakyat membuktikan kepada pemerintah mereka tidak lagi takut atau pun mahu bersembunyi di sebalik tembok jijik dibina oleh UMNO.
Pembohongan dan dolak-dalik media milik UMNO dan Barisan Nasional serta sikap tarik-tali Najib Razak akhirnya menempelak muka sendiri, keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadapnya merudum jatuh.
Hanya dengan berjalan-jalan ke sekitar KL bagi meninjau keadaan selepas demonstrasi aman, imej Najib tidak mudah pulih seperti disangka.
Rakan-rakan dan keluarga saya dari utara hingga selatan semuanya bertanya tentang Bersih, mereka mahu peserta demonstrasi aman itu sendiri menceritakan pengalaman dan bukan sekadar membeli akhbar lidah rasmi UMNO dan BN yang penuh cerita sandiwara dan bersikap berat sebelah.
Tidak putus pesanan ringkas dan perbualan telefon yang bertanyakan khabar tentang peserta demonstrasi aman Bersih. Rakan dan ahli keluarga inilah yang dikategorikan sebagai “silent majority” yang sebenar, bukan seperti apa yang digembar-gemburkan oleh Najib semasa perhimpunan dalam dewan anjuran UMNO baru-baru ini bagi mengelirukan perhatian rakyat.
Kenyataan Majlis Peguam telah menafikan segala momokan beberapa hari sebelum bermula perhimpunan Bersih oleh kumpulan-kumpulan NGO yang menjadi tunggangan UMNO serta beberapa wakil daripada parti komponen BN yang nyata meleset, malahan jangkaan mereka salah sama sekali.
“Secara umumnya perhimpunan tersebut berlangsung dalam keadaan terkawan dan tenang, lebih utama lagi kami mendapati rakyat daripada pelbagai latar belakang dan seluruh negara menyertai perhimpunan tanpa sebarang konflik tercetus.
“Ia nyata berbeza sama sekali dengan pendapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyatakan kebimbangan perhimpunan tersebut akan mewujudkan masalah perkauman atau kekacauan,” demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam Selasa lalu.
Mereka yang turun ke jalan raya pada 9 Julai itu merupakan rakyat yang menuntut perubahan, sejarah negara yang baru sudah dicipta daripada pelbagai bangsa dan umur yang turun pada hari tersebut.
Semangat 31 Ogos 1957 semasa di dalam Stadium Merdeka ketika ini menjelma kembali untuk merasakan nikmat sebenar bersatu-padu serta kemakmuran dan permuafakatan yang sudah dikecapi untuk sekian lama.
Kecaman ke atas Najib berlanjutan hingga ke pentas antarabangsa, daripada pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International kepada badan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hingga kepada suara media global.
Turut bersama mengecam tindakan agresif pemerintahan Najib ialah penulis bebas kewangan Bloomberg, William Pesek yang mengherdik agenda perubahan yang dilaungkan Perdana Menteri semasa mula-mula memegang tampuk kuasa sebagai omong kosong.
Dalam tulisan Pesek, beliau menyatakan, “Bagaimaman sesebuah negara boleh menangkap 1,700 rakyatnya semata-mata kerana memakai warna kuning? Adakah ini dipanggil demokrasi?”
Bukan sahaja rakyat mentertawakan pemerintahan Najib, malahan ketika ini hampir segenap pelusuk negara sudah mengetahui kredibiliti sebenar sang perdana menteri yang tidak mendahulukan kepentingan dan hak rakyat.
Bersih tidak mencalarkan imej Najib, malah beliau berpeluang menjadikan dirinya sebagai tokoh besar jika membenarkan perhimpunan aman itu diadakan secara teratur dan bersopan.
Sebaliknya tindakan melulu oleh instrumen Najib di samping janji tak serupa bikin beliau sendiri yang mengakibatkan seluruh jentera kerajaan terpalit dengan kekotoran yang amat memalukan sekali.
Bukan rakyat yang berpecah tetapi tembok perkauman yang sudah dipecahkan rakyat pada 9 Julai 2011.
Tahniah dan salut untuk para peserta Bersih 2.0!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan