Khamis, 7 Julai 2011

Bersih 2.0: Operasi Hentian Puduraya dihenti sementara


KUALA LUMPUR– Pihak berkuasa mula memperketatkan tindakan penguatkuasaan menjelang perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu ini dengan yang terbaru mengarahkan agar operasi Hentian Puduraya, yang terletak di pusat bandar raya, ditutup sementara mulai tengah malam esok dan dipindahkan ke lokasi lain.

Hentian Puduraya, salah satu hentian utama di ibu negara, mengendalikan 300 perjalanan setiap hari.

Pusat perhentian itu terletak kira-kira dua kilometer dari Stadium Merdeka - lokasi Bersih 2.0 merancang untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini sebelum membatalkan perhimpunan jalanan.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider petang ini, Pengerusi UDA Holdings Datuk Nur Jazlan Mohamed mengesahkan bahawa operasi Hentian Puduraya akan dihentikan buat sementara mulai tengah malam esok dan pada hari Sabtu ini.

“Saya dimaklumkan operasi bas di Hentian Puduraya akan dihentikan mulai tengah malam esok, dan juga sepanjang hari Sabtu,” kata beliau.

“Mungkin langkah ini diambil selaras dengan keputusan SPAD, dan tindakan polis,” kata beliau.

Pagi tadi, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak akan mengeluarkan lesen sementara kepada bas kilang dan sekolah ke Kuala Lumpur.

Justeru kata beliau, bas-bas ke utara dan timur akan beroperasi di perhentian Jalan Duta manakala bas-bas ke selatan pula akan bergerak dari Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan.

Beberapa pembaca yang menghubungi The Malaysian Insider memberitahu, penumpang-penumpang yang memberi tiket di kaunter Hentian Puduraya dimaklumkan mengenai perubahan sementara operasi bas.

Selain Hentian Puduraya, warga Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan bas di Hentian Jalan Duta, Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan dan Hentian Pekeliling.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) menafikan khabar angin bahawa perkhidmatan tren transit aliran ringan di beberapa stesen akan mengalami gangguan Sabtu ini.

“Tidak, tidak,” kata beliau ketika ditanya sama ada pihaknya ada sebarang rancangan atau telah menerima sebarang arahan daripada pihak berkuasa agar menghentikan operasi perkhidmatan tren aliran ringan pada Sabtu ini.

SPNB memiliki tren aliran ringan laluan KL-Ampang dan Gombak-Kelana Jaya.

Bagaimanapun menurut SPAD, ia masih bergantung pada arahan susulan daripada kerajaan.

“Operasi kami adalah normal, tetapi kami akur kepada sebarang keputusan dibuat oleh pihak berkuasa yang relevan,” kata seorang jurucakap SPAD ketika dihubungi.

Jurucakap itu juga mengesahkan bahawa Kabinet belum lagi mengeluarkan sebarang arahan mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: