Ahad, 3 Julai 2011

Bersih 2.0: Lagi tangkapan bawah Ordinan Darurat?

THE MALAYSIAN INSIDER

PETALING JAYA — Polis tidak menolak kemungkinan membuat tangkapan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 kerana penglibatan dalam anasir subversif.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Khalid Abu Bakar menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa tangkapan itu dibuat sesuka hati sebaliknya menegaskan ia dibuat mengikut lunas undang-undang negara.

“Ini adalah undang-undang yang ada di negara ini. Bukan pandai-pandai polis ambil tindakan sendiri. Apa juga tindakan kita adalah berdasarkan peraturan dan undang-undang yang ada di Malaysia,” katanya dipetik Bernama Online.

Semalam, polis menahan Anggota Parlimen Sungai Siput Dr Jeyakumar Devaraj dan lima anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengikut Ordinan Darurat itu.

Ditanya mengenai tangkapan berkaitan penganjuran perhimpunan pada 9 Julai ini, Khalid berkata sehingga hari ini, polis menahan 152 orang mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis.

Polis turut menerima 2,500 laporan polis daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, individu dan badan bukan kerajaan di seluruh negara yang membantah perhimpunan itu, katanya.

Dalam laporan berasingan Bernama Online, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pihaknya akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan tidak akan memberi ruang kepada mana-mana pihak yang bercadang menganjurkan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai.

Ismail menegaskan tindakan akan diambil tanpa mengambil kira sebarang kenyataan atau andaian pihak lain terhadap tindakan polis.

Beliau berkata jika diadakan, perhimpunan itu akan mengundang kepada gangguan ketenteraman negara dan menyebabkan huru-hara.

“Janganlah mencabar kedaulatan undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan negara. Pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya dengan menggunakan peruntukan undang-undang yang ada kepada sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang yang ditetapkan,” katanya di Butterworth.

Ismail menasihatkan orang ramai yang berniat menyertai perhimpunan haram itu supaya membatalkan hasrat mereka atau berhadapan tindakan polis.

Ismail berkata polis mempunyai strategi tertentu yang boleh diguna pakai untuk menjaga keselamatan dan memastikan keamanan negara berkekalan.

Tiada ulasan: