Rabu, 13 Julai 2011

Bersih 2.0 bukti rakyat Malaysia akrab

Mohd Nor Yahya

(Peserta perhimpunan Bersih 2.0 yang terdiri pelbagai kaum mengangkat berdera Malaysia semasa berhimpun)


KOTA BHARU: Himpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di ibu negara Sabtu lalu membuktikan satu demonstrasi yang dilakukan oleh rakyat negara ini dengan melibatkan pelbagai kaum.

Persahabatan dan silaturrahim yang ditonjolkan oleh pelbagai kaum membuktikan rakyat negara ini secara umumnya inginkan satu proses pilihan raya yang bersih dari pelbagai sudut.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, rakyat negara ini boleh melihat gambar-gambar yang tersebar luas menunjukkan ada orang India yang rebah kerana sesak nafas dibantu oleh budak Melayu yang berkopiah, ada orang Melayu yang rebah, ada budak Cina yang datang membantu yang membuktikan pelbagai kaum bersatu dalam demonstrasi Bersih 2.0.

“Saya rasa ia sangat bermakna dan ini membuktikan rakyat Malaysia boleh hidup aman damai dan bersatu sekiranya pemerintah dapat melaksanakan dasar-dasar yang boleh menimbulkan perpaduan di kalangan rakyat,” ujar beliau ketika ditemui di majlis Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pemandu-Pemandu Kereta Sewa Kelantan Barat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan, JKR 10, malam tadi.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada persatuan. (Gambar kanan)

Husam juga berkata demontrasi aman Bersih 2.0 kali ini amat memberangsangkan kerana melibatkan rakyat Malaysia di seluruh dunia seperti di Australia, Mesir, England, Kanada, Taiwan dan banyak lagi bandaraya dunia luar.

“Isu yang dibawa oleh Bersih 2.0 ini adalah isu yang valid dan yang betul wujud dan dikehendak oleh rakyat Malaysia dan dikongsi oleh rakan-rakan yang berada di negara luar,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat kerajaan di bawah kepimpinan Najib harus mengambil berat pandangan rakyat dalam lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.0 dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya negara ini.

Husam juga turut menyokong agar selagi tuntutan yang dikehendaki rakyat tidak dipenuhi, seluruh rakyat memakai baju kuning pada setiap Sabtu bermula Sabtu ini sebagai solidariti berterusan.

Menyentuh kenyataan Ketua Polis Negara yang mengatakan hanya sekitar 5,000 hingga 6,000 hadir pada demonstrasi Bersih 2.0, Husam berkata ketua polis perlu lebih peka dengan perkembangan media baru, semua menunjukkan hampir puluhan ribu yang hadir pada hari tersebut.

“Ini bukan zaman 60-an lagi, kalau dulu terpampar di akhbar kenyataan pemimpin secara besar-besaran, orang kampung akan beli akhbar tersebut dan mempercayainya, sedangkan masa kini ia telah berubah, akhbar sudah tidak lagi relevan kerana media elektronik lebih pantas dan siap dengan gambar videonya sekali,”kata beliau lagi.

Husam juga berkata, pihak polis kena belajar banyak lagi kerana pelbagai halangan dan sekatan dikenakan kepada rakyat untuk tidak menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 tersebut, namun ia amat gagal kerana puluhan ribu berjaya berhimpun di kawasan tersebut.

Tiada ulasan: