KUALA LUMPUR: Kesanggupan anak-anak muda menyertai himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di Kuala Lumpur walaupun terpaksa datang dari jauh, jelas membuktikan belia Malaysia hari ini mahukan perubahan.
Walaupun dihalang dengan pelbagai cara, anak-anak muda ternyata telah memecahkan tembok ketakutan terhadap BN untuk menyertai perhimpunan itu bagi menyampaikan mesej mereka ke arah membawa Malaysia hari ini kepada Malaysia baru. (Anak muda yang memenuhi Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil Sabtu lepas)
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Nik Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan, dengan kebangkitan anak-anak muda itu ke arah membawa Malaysia kepada Malaysia baru, anak-anak muda adalah Perdana Menteri Malaysia yang baru.
Menurut beliau, kebangkitan anak-anak muda itu berpunca dari kegagalan para pemimpin Umno BN memahami kehendak anak-anak muda yang mahukan politik negara ini berubah ke arah kebaikan termasuk dalam sistem pilihanraya.
Katanya, keadaan itu amat berbeza dengan para pemimpin Pakatan Rakyat yang diterajui oleh golongan tua tetapi amat memahami jiwa anak-anak muda.
"Ini jelas menunjukkan BN sudah ketinggalan dan tidak memahami jiwa anak-anak muda. Sebab itulah mereka sanggup menyekat kebangkitan anak-anak muda dalam melakukan perubahan terhadap politik negara dengan pelbagai halangan.
"9 Julai lalu, pelbagai kezaliman telah dilakukan oleh kerajaan BN terhadap rakyat. Pada hal rakyat hanya mahu mengadakan himpunan aman untuk mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil di negara kita.
"Namun dalam Islam, semua orang yang dizalimi doa mereka tidak terhijab di sisi Allah sama ada yang muslim dan bukan muslim," katanya ketika ditemui.
Semakin dizalimi, menurut beliau, rakyat menjadi lebih bersemangat untuk mengubah pemimpin negara bagi melahirkan Malaysia baru yang lebih baik kerana ia selaras dengan tuntutan Islam.
"9 Julai lalu terbukti rakyat sudah tidak takut lagi lagi dengan kerajaan BN. Rakyat terutama anak-anak muda telah memecahkan tembok ketakutan kepada BN. Mereka datang dari seluruh pelosok negara termasuk ratusan pemuda dari Sabah dan Sarawak.
"Perhimpunan pada 9 Julai lalu ternyata berjaya menyampaikan mesej rakyat bagi mendesak kerajaan BN melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil, malah suara mereka didengar di seluruh dunia.
"Selain boleh diikuti menerusi liputan yang dibuat oleh pihak media pada himpunan di Kuala Lumpur, seluruh dunia turut mengetahui desakan rakyat menerusi perhimpunan yang dibuat oleh anak-anak muda kita di 24 buah negara termasuk di Australia," katanya.
Bagi meraikan kejayaan himpunan aman Bersih 2.0 itu, beliau akan memakai baju kuning pada Hari Raya Aidilfitri nanti. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan