Jumaat, 8 Julai 2011

Bersih 2.0: Agong ‘telah bertindak dengan betul dan wajar’




KUALA LUMPUR— Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab untuk bertindak atas nasihat kerajaan tetapi sekiranya nasihat yang diberikan bertentangan dengan Perlemgaan, maka baginda tidak terikat kepada pandangan pentadbiran semasa, kata penganalisis politik.

Prof A. Aziz Bari (gambar) dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah “mudah dan jelas”, yakni Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan apabila ia selari dengan “kandungan dan semangat Perlembagaan.”

“Jika nasihat (yang diberikan) pertentangan dengan Perlembagaan, maka Yang di-Pertuan Agong tidak terikat kepada nasihat. Bermakna, menjadi satu tugas di sebelah Agong untuk mengabaikan nasihat jika ia ada potensi untuk memperlekehkan (peruntukan) Perlembagaan,” kata pakar perlembagaan ini dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Katanya, menjadi tanggungjawab ketua negara atau negeri sama ada Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Gabenor untuk melindungi Perlembagaan.

“Ini yang perlu diambil kira oleh menteri khususnya apabila kerajaan, Parlimen dan mahkamah ada tugas untuk dilakukan.

Oleh itu kata beliau, rakyat tiada pilihan kecuali pergi kepada Yang di-Pertuan Agong dan terima kasih “baginda telah melakukan apa yang betul dari segi perlembagaan.”

Aziz menambah tanggungjawab untuk bertindak atas nasihat cuma “satu keperluan umum” yang tertakluk kepada pengecualian dalam kes-kes tertentu.

“Seseorang seharusnya membaca Perlembagaan secara literal dan mekanikal sepanjang masa,” kata beliau.

Berkenaan dengan isu semasa, kata beliau, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah bertindak dengan betul dan wajar.

“Menjadi tanggungjawab baginda memastikan satu pilihan raya yang adil dan bebas. Lihat pada semangat Artikel 114(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pagi tadi, The Malaysian Insider dengan memetik sumber telah membawa laporan bahawa ‘kebebasan’ Yang di-Pertuan Agong dalam isu berkaitan Bersih 2.0 dan perkenan menerima pertemuan wakil gabungan itu awal minggu ini telah mencetuskan kebingungan di kalangan ahli politik Umno termasuk beberapa menteri pentadbiran Najib.

The Malaysian Insider difahamkan, mereka kecewa dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong perkenan menerima rombongan diketuai Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavasan menghadap atas alasan ia berlaku di luar kuasa Perlembagaan.

Pegawai-pegawai kerajaan juga mengesahkan wujud siri ‘tarik tali’ dalam urusan menyediakan titah kenyataan antara istana dan pentadbiran Najib sebelum Istana Negara mengeluarkan pendiriannya lewat Ahad lalu.

“Beberapa ahli politik merasakan bahawa kenyataan Agong seharusnya telah menggunakan perkataan-perkataan yang sangat tegas terhadap Bersih 2.0. Dan, beberapa menteri juga kecewa apabila Agong menerima (kehadiran) Ambiga,” kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Seorang menteri Kabinet mengesahkan kepada The Malaysian Insider bahawa perbezaan pandangan wujud ketika mesyuarat Kabinet mingguan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka merasakan Agong bukan merupakan sayap eksekutif dan Agong tertakluk kepada sistem raja berperlembagaan di mana beliau bertindak atas nasihat perdana menteri.

“Jadi, kebanyakan menteri merasakan bahawa ini dilakukan tanpa pengetahuan perdana menteri. Tetapi perdana menteri tahu, jadi sebenarnya, ia satu tanggapan salah,” kata menteri berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai, kata Aziz, sejak seminggu lalu kerajaan menerusi polis telah bertindak memperkecilkan semangat Perlembagaan, antaranya membuat tangakapn yang bertentangan dengan Arikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika, kini menteri-menteri kelihatan tidak gembira, bagaimana dengan pendirian mereka apabila mereka menggunakan Sultan Selangor awal tahun ini?

“Dan, bagaimana dengan pandangan semasa menteri mengenai kedudukan raja dalam krisis Perak pada 2009 apabila mereka menyokong apa yang diputuskan oleh Sultan Perak?” kata beliau lagi.

Sementara itu, seorang peguam yang pakar dalam isu perlembagaan Tommy Thomas berkata, Yang di-Pertuan Agong ada hak untuk dimaklumkan mengenai perkara-perkara semasa menyentuh negara.

Dengan merujuk kepada Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan, berkaitan dengan peruntukan bahawa Yang di-Pertuan Agong merupakan “ketua persekutuan”, Thomas menjelaskan, ada konvensyen berhubung pertemuan mingguan antara Perdana Menteri dan Agong bagi membolehkan baginda dimaklumkan mengenai urusan kerajaan.

“Agong adalah ketua persekutuan, bercakap bagi keseluruhan negara. Perdana Menteri semasa sentiasa memihak manakala Agong pula mengatasi politik.

“Dan, tidak salah bagi Agong untuk bertemu mana-mana subjeknya (pihak) untuk mengetahui apa yang berlaku dalam negara,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Thomas, bekas anggota Majlis Peguam berkata, raja berperlembagaan Britain juga mempunyai pendekatan seumpama itu di England.

Katanya, Ratu Elizabeth II sentiasa bercakap dengan profesor dan personaliti-personaliti terkemuka agar baginda dikemaskinikan dengan perkembangan semasa.

“Dalam konteks itu, apa salahnya Agong bertemu dengan Ambiga atau pun dengan Nicol David (ratu skuasy) memandangkan mereka merupakan subjeknya dan baginda adalah Agong mereka,” kata Thomas.

“Selepas menjemput beliau (Ambiga) ke istana, baginda boleh berkata, ‘lihat, ini nasihat saya...’, sebagai seorang bapa, dan terserah kepada Ambiga untuk mengatakan ‘saya terima’ atau ‘saya menolak’. Agong tiada kuasa sebenar selaku sebagai raja berperlembagaan.

“Untuk mengatakan Agong tidak boleh memberi nasihat atau bercakap dengan sesiapa adalah salah,” kata Thomas lagi.

Tiada ulasan: