Selasa, 12 Julai 2011

Bersih 2.0: Adun Seri Setia mahu DUN Selangor buat pendirian

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia dari PKR mengemukakan usul meminta kerajaan negeri Selangor mengambil pendirian terhadap kerajaan pusat dan Polis Diraja Malaysia berhubung cara pihaknya menangani perhimpunan Bersih 2.0, Sabtu lalu.

Dalam usulnya dibawa hari ini, wakil rakyat penggal pertama itu mahu kerajaan pusat menghentikan segala tangkapan dan halangan terhadap kempen Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Selangor, malah di seluruh negara.

Usul itu juga meminta kerajaan negeri mempertahankan hak rakyat untuk menggunakan kemudahan-kemudahan kerajaan negeri, badan-badan berkanun negeri, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tanpa halangan polis atau mana-mana pihak selari dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Usul itu berkata Bersih 2.0 telah mengadakan perhimpunan aman bagi mempertahankan prinsip demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Nik Nazmi (gambar) ketika dihubungi berkata usul itu akan dibahaskan petang ini.

“Bersih telah pun menjunjung kasih di atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menasihatkan Bersih dan pihak kerajaan persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian untuk semua.

“Justeru Bersih bersetu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri turut menawarkan stadium sekiranya Bersih sanggup bertolak ansur,” kata Nik Nazmi, yang juga Pengarah Komunikasi PKR dalam usulnya.

Bagaimanapun kata Nik Nazmi, Perdana Menteri telah mungkir janji dan permit turut ditolak pihak polis dan turut mengadakan sekatan jalan raya semata-mata untuk menyusahkan rakyat dan menggagalkan perhimpunan Bersih 2.0.

“Bukan sahaja aktivis Bersih termasuk anggota parti politik berdaftar ditangkap seolah-olah penjenayah, baju-baju kuning turut dirampas,” katanya.

Nik Nazmi menambah, akhirnya terbukti “suara rakyat suara keramat” dan rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang, tua dan muda tetap turun berduyun-duyun bukan sahaja dalam negara, malah seluruh dunia bagi menyatakan solidariti terhadap perjuangan menuntut demokrasi.

“Di sebelah malam pula dalam program di Kelana Jaya, polis telah mengadakan sekatan jalan dan mengepung Kompleks PKNS.

“Walaupun saya cuba berunding, permintaan saya ditolak dan program tersebut terpaksa dibuat di Pusat Khidmat saya,” katanya lagi.

Kata Nik Nazmi, memandangkan ini melibatkan hak asasi manusia dan konsep demokrasi berperlembagaan, perkara ini hendaklah disegerakan selepas tindakan kerajaan pusat dan Polis Diraja Malaysia yang telah menghina kedudukan kerajaan negeri dan lebih penting lagi merupakan pelanggaran kepada Perlembagaan Persekutuan.”

Tiada ulasan: