Isnin, 4 Julai 2011

Arahan Haram Bersih Harus Ditarik Balik-Kit Siang

Ditulis oleh Salmiah Drahsin



KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu membatalkan keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan menarik balik pengharaman Bersih, kata pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Kit Siang berkata, ketiga-tiga alasan yang diberikan bagi pengharaman tersebut di bawah Akta Pertubuhan hanya akan mendedahkan kerajaan dan negara kepada cemuhan masyarakat antarabangsa.

Katanya, Bersih tidak bersalah atas alasan yang pertama, iaitu "bergerak aktif dan mencetuskan suasana gelisah dan kebimbangan masyarakat pelbagai kaum negara ini".

"Mereka yang bersalah adalah Perkasa dan Pemuda Umno, malah Perkasa mengancam (akan berlaku) satu lagi 13 Mei, dengan amaran kepada orang Cina supaya tinggal di rumah dan menyimpan makanan, dan Pemuda Umno (berkumpul) di hadapan ibu pejabat PKR, mengancam keganasan dan huru-hara,"kata beliau.

Kit Siang turut mempersoalkan tindakan Hishamuddin yang bertindak ke atas Bersih walaupun pihak yang bersalah sebenarnya ialah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pemuda Umno.

Beliau juga menyifatkan bahawa pengharaman Bersih kerana "menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan dengan mengedarkan risalah-risalah tertentu", adalah tidak berasas sama sekali.

Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih 2.0) telah diisytiharkan sebagai pertubuhan haram berkuatkuasa Jumaat lalu menurut Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata, perisytiharaan itu dibuat oleh Hishammuddin mengikut seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966.

Tiada ulasan: