Selasa, 5 Julai 2011

Ambiga: Himpunan Bersih 9 Julai diteruskan, tapi di stadium

TERKINI


KUALA LUMPUR — Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Terlebih dahulu Ambiga (gambar) yang turut diiringi Sasterawan Negara Datuk A Samad Samad dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin memasuki Istana Negara kira-kira pukul 1.55 petang dan keluar pukul 3.15 petang.

“Kami telah mengadakan pertemuan dengan Agong dalam keadaan yang baik dan kami berterima kasih dengan pertemuan ini,” kata Ambiga kepada pemberita sebaik sahaja keluar dari Istana Negara.

“Kami menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium, jadi tiada perhimpunan di jalanan.”

Beliau menambah keputusan itu dibuat atas dasar kompromi sambil menyifatkan ia jalan terbaik.

“Kita akan buat di stadium, ini jalan terbaik,” katanya.

Ambiga menambah pertemuan itu hanya melibatkan pihaknya dan Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak),” katanya ringkas menjawab soalan pemberita.

Ditanya maklumat lanjut mengenai perhimpunan di stadium, Ambiga berkata ia akan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemandu Bersih.

“Kita akan tentukan kemudian, kita akan adakan mesyuarat kemudian akan beritahu dalam sidang media,” katanya namun tidak memaklumkan bila sidang media akan diadakan.

Semalam Najib berkata kerajaan bersedia membenarkan Himpunan Bersih 2.0 jika ia diadakan di stadium.

“Ini satu peringatan sebelum terlambat. Jika mereka mahu menyerahkan memorandum dan sebagainya, mereka boleh menunjukkan dengan cara demokrasi dengan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kami bersedia menyediakan mereka satu stadium bagi mereka untuk berhimpun tetapi mereka pilih jalan untuk protes. Kerajaan tidak menentang mereka berhimpun di stadium dari pagi sehingga malam. Jangan buat protes jalan kerana ia berisiko kepada negara,” kata beliau.

“Kita sanggup sediakan stadium untuk mereka berkumpul tetapi kenapa mereka memilih demonstrasi jalanan... mesti ada niat lain. Kalau mereka daripada awal kata nak berkumpul daripada pagi hingga malam di stadium dan balik dengan baik, saya percaya pihak kerajaan tiada halangan.

“Kumpullah di stadium, berpekiklah sampai tak larat ... buatlah, tidak menjadi masalah tetapi jangan buat demonstrasi jalanan kerana ia boleh mengundang risiko yang amat berbahaya kepada negara,” katanya.

Selain itu kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat juga bersedia menawarkan stadium jika perlu.

Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana dan “yang pentingnya.”

Sementara itu Naib Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih.

“Ini membuktikan bahawa Bersih 2.0 bukan pertubuhan haram seperti mana yang didakwa Datuk Seri Hishammuddin Hussein baru-baru ini, perkenan Yang di-Pertuan Agong dijunjung kasih kerana ia bertujuan mendaulatkan sistem demokrasi yang selama ini tempang tanpa dilihat kukuh.

“Rakyat pertegaskan Rukun Negara yang selama ini dipegang akhirnya menatijahkan satu pendekatan yang selama ini tidak timbul dan Yang di-Pertuan Agong akhirnya memecahkan tradisi akan kemelut yang telah lama melanda,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata beliau, pihaknya mendesak kesemua mereka yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta.

Tiada ulasan: