Jumaat, 8 Julai 2011

Ambiga derhaka titah Agong, dakwa Perkasa




KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini mendakwa Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasen “menderhaka” kepada titah Yang di-Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin kerana berkeras mahu mengadakan Himpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka esok.

“Saya kesal dan dukacita Ambiga selaku Pengerusi Bersih 2.0 yang menghadap Yang di-Pertuan Agong dan sampai peringkat Agong bertitah, namun masih mahu buat di stadium.

“Bersih 2.0 boleh buat di Stadium Melawati, boleh buat perarakan di Jambatan Pulau Pinang... kenapa tak buat di sana? Apa tujuan dia (nak buat di Stadium Merdeka)? Nak tunjuk kepada dunia? Kenapa nak buat di Stadium Merdeka, ini jelas Ambiga tidak hormat dan taat kepada Agong, beliau penderhaka,” katanya pada sidang media di sini.

Kata Ibrahim (gambar), Ambiga tidak menggunakan peluang menemui Yang di-Pertuan Agong sebaliknya membelakangkan titah baginda.

“Semalam kita menghadap Yang di-Pertuan Agong yang mana kita tahu selama ini Perkasa yang mempertahankan institusi diraja, Ambiga diberi peluang tapi tidak menghormati Agong, beliau perempuan paling biadap.

“Beliau tidak erti budaya orang Asia dan orang Melayu,” katanya.

Himpunan Bersih 2.0 yang turut disokong Pakatan Rakyat dijangka akan meneruskan perhimpunan di Stadium Merdeka esok walaupun polis telah mengeluarkan arahan larangan semalam.

Malah polis juga telah menyenaraikan nama 91 individu yang tidak dibenarkan memasuki Kuala Lumpur esok termasuk Ibrahim, Ambiga dan Ketua Pemuda Umno Khary Jamaluddin.

Mereka dilarang memasuki Kuala Lumpur antara pukul 8 pagi dan 6 petang Sabtu ini sama ada berjalan kaki atau menaiki mana-mana kenderaaan termasuk bas dan kereta api. 

Tiada ulasan: