Selasa, 26 Julai 2011

Akta Kanak-Kanak dipinda elak kanak-kanak dipenjara

BERNAMA


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bercadang untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001 bagi melindungi kanak-kanak yang melakukan kesalahan ringan supaya tidak diperintahkan ke penjara.

NONEMenterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sebaliknya, kanak-kanak tersebut dicadang agar menjalani Perintah Khidmat Masyarakat, satu program pemulihan yang akan dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan secara “keadilan pemulihan” iaitu pemulihan serta keinsafan dilihat bersesuaian kerana kanak-kanak yang terlibat dalam kesalahan ringan seperti mencuri dan menjual VCD haram tidak akan mengulangi kesalahan mereka.

"Kita tidak mahu kanak-kanak ini apabila menjalani hukuman dalam penjara atau pusat tahanan, mereka akan terus duduk dalam persekitaran yang lebih mempengaruhi mereka untuk mengulangi kesalahan yang lebih besar,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur dan menambah akta tersebut dijangka dimuktamadkan pada penghujung Disember ini.

Beliau merasmikan Mesyuarat Majlis Penasihat dan Perundingan Kebangsaan Kanak-Kanak.

factory workers sweatshops 090107 child labourShahrizat berkata satu penyelidikan yang dibuat kementerian itu sejak empat bulan lalu mendapati kebanyakan kanak-kanak tidak memahami akibat daripada melakukan kesalahan dan mereka terdorong melakukannya kerana inginkan keseronokan.

"Kanak-kanak yang bermasalah ini tidak seharusnya dihukum, program yang mendekatkan mereka dengan masyarakat dapat membantu dalam memulihkan semangat mereka," katanya.

Justeru, katanya program Perintah Khidmat Masyarakat dapat mengelak kanak-kanak daripada mengalami sebarang tekanan perasaan dan trauma susulan daripada kesalahan yang dilakukan dahulu.

Bagaimanapun, Shahrizat berkata program itu masih dalam proses penyelidikan dan perlu disusun agar lebih bersesuaian untuk kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang telah melakukan kesalahan ringan.

Tiada ulasan: