Ahad, 24 Julai 2011

ADUN wanita pertama S'wak meninggal dunia

BERNAMA


Tokoh politik veteran Sarawak yang juga wanita pertama menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Tra Zehnder, meninggal dunia kira-kira 9.30 malam tadi di Hospital Umum Sarawak di Kuching kerana sakit tua.

Mendiang Tra, 84, meninggalkan tujuh anak.

Beliau menjadi ADUN dari tahun 1960 hingga 1963 dan merupakan pengasas kepada persatuan Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS), sebuah perkumpulan wanita Dayak negeri yang masih aktif dan berpengaruh sehingga kini, pernah menjadi sebagai setiausaha kehormat pada tahun 1960 sebelum dilantik menjadi presiden (1964-1966).

Pada tahun 1962, mendiang mewakili Sarawak Dayak National Union (SDNU) dalam mesyuarat pembentukan Suruhanjaya Cobbold dan juga wanita pertama menjadi Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak (1996-2002).

Beliau adalah juga wanita pertama dilantik sebagai Iban Temenggong, satu jawatan ketua kaum tempatan negeri, bagi Bahagian Kuching mulai Julai 1988 hingga Februari 1996.

Antara sumbangan besar mendiang kepada Sarawak khasnya masyarakat Dayak ialah dalam menjadikan sambutan Gawai Dayak sebagai sambutan peringkat nasional dan majlis rasmi kerajaan.

Mendiang juga telah mencadangkan agar 1 Jun setiap tahun dijadikan hari sambutan perayaan Gawai Dayak sebagai pengiktirafan kepada masyarakat kaum Dayak yang terdapat di Sarawak dan sehingga kini diraikan setiap tahun pada 1 dan 2 Jun.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata mendiang Tra telah banyak berjasa kepada pembangunan Sarawak terutama sekali pembangunan sosio ekonomi wanita dan patut dijadikan contoh kepada wanita zaman sekarang.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching, Taib, yang juga Presiden PBB, turut mengucapkan takziah dan menganggap mendiang Tra akan meninggalkan legasi yang akan diingati sampai bila-bila dalam sejarah negeri ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Wanita PBB Datin Fatimah Abdullah berkata salah satu legasi yang ditinggalkan oleh mendiang kepada sejarah pembangunan negara dan negeri ialah aspek mengekalkan kebudayaan dan warisan Sarawak.

"Beliau banyak memberi inspirasi kepada wanita di negeri ini," katanya sambil menambah mendiang Tra ialah seorang yang suka merendah diri dan bersopan-santun.


Tiada ulasan: