Jumaat, 15 Julai 2011

300 pengusaha pusat hiburan Kedah bakal rugi

BERNAMA

Dewan Perhimpunan Cina Kedah berkata, mereka akan mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran tindakan MB Kedah melarang mereka beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.



ALOR SETAR: Lebih 300 pengusaha pusat hiburan di Kedah bakal menanggung kerugian jutaan ringgit ekoran tindakan kerajaan negeri melarang mereka beroperasi sepanjang bulan Ramadhan.

Presiden Dewan Perhimpunan Cina Kedah Datuk Cheng Lai Hock berkata ini kerana mereka bukan saja kehilangan pendapatan tetapi juga masih perlu membayar gaji pekerja dan sewa premis.

Malah, Cheng memberitahu pemberita hari ini lebih 6,000 pekerja juga berhadapan kemungkinan diberhentikan kerja jika majikan mereka tidak mampu menanggung kos.

“Rata-rata pengusaha terkejut dengan tindakan yang dibuat kerajaan negeri menyebabkan mereka tidak melakukan sebarang persediaan untuk berhadapan dengan kerugian yang bakal ditanggung.

“Kami akan menghantar satu memorandum dalam masa terdekat kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi memberi kelonggaran kepada mereka untuk menjalankan perniagaan seperti biasa,” katanya di sini.

Sementara itu, bekas Mufti Kedah Datuk Hasbullah Abdul Halim berkata tindakan kerajaan Kedah mengharamkan pusat hiburan beroperasi sepanjang Ramadhan merupakan tindakan yang wajar bagi mengekang umat Islam berkunjung ke situ pada bulan puasa.

“Umat Islam tidak perlu ke pusat hiburan bagi menghilangkan rasa tekanan di tempat kerja sebaliknya mereka boleh mencari sumber hiburan lain bersama keluarga yang tidak menjurus kepada maksiat.

“Tegahan ke atas orang Islam bukan hanya berdasarkan kepada undang-undang sahaja malah mereka perlu menyedari bahawa perintah

Allah sudah jelas melarang umatnya melakukan perkara berbentuk maksiat,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara ini.


Tiada ulasan: