Rabu, 13 Julai 2011

3 ADUN DAP Melaka digantung 6 bulan

MALAYSIA KINI


Tiga ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka digantung daripada menghadiri persidangan dewan selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.

Mereka ialah Ketua Pembangkang Goh Leong San (Kesidang), Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Tey Kok Kiew (Banda Hilir).

Speaker DUN Melaka Datuk Othman Mohamad berkata, penggantungan mereka mengikut Fasa 34(6) kerana gagal mematuhi peraturan dewan dan tidak patuh kepada arahan speaker ketika dewan bersidang semalam.

Menurutnya, keputusan menggantung tiga wakil DAP itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 23 wakil BN selepas usul dikemukakan ketua whip, Datuk Yaakob Md Amin.

"Kekecohan bermula semasa dewan menyambung persidangan pada hari semalam dan sebaik usul tergempar BN berhubung perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu diumumkan manakala usul DAP mengenai perjudian bukan bagi kaum Cina ditolak.

"Keputusan Speaker menyebabkan Poay Tiong bangun membacakan usulnya sehingga menyebabkan kekecohan antara wakil BN dan pembangkang.

"Kedegilan mereka mematuhi arahan Speaker supaya keluar dewan juga telah menyebabkan persidangan terpaksa ditangguh selama 15 minit.

"Namun, mereka bersama Adun Kota Laksamana Betty Chew Gek Cheng dan Lim Jak Wong (Bachang) terus ingkar tidak berganjak apabila tempoh 15 minit itu tamat sekali gus memaksa Speaker menangguh persidangan," katanya.

Ali Rustam: Ini peringatan


Bagaimanapun, menurut Othman, sebagai tanda prihatin, Jawatankuasa Hak Asasi Dewan memutuskan elaun mereka sebagai ADUN masih lagi berjalan.

ali rustamSementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, keputusan penggantungan itu adalah pertama kali berlaku pada sidang DUN Melaka dan ketegasan adalah perlu untuk memberi pengajaran kepada ADUN terlibat.

Katanya, tindakan itu sebagai peringatan ahli dewan supaya mereka mesti menghormati prosedur proses persidangan dewan secara tertib.

"Kita telah terpilih untuk membawa suara rakyat jelata membincang perkara-perkara mengikut undang-undang demokrasi dan mereka mestilah profesional?" katanya.

Tiada ulasan: