Khamis, 21 Julai 2011

1,800 pemilih ‘hantu’ dilonggok di Bukit Panau

M Faqih


TANAH MERAH: Ketika dipamerkan senarai Daftar Pemilih Induk (DPI) suku akhir tahun lepas lebih 100 pengundi tidak dikenali dibantah di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Panau.

Namun ketika dipamer senarai pemilih baru suku pertama tahun ini lebih 100 orang yang dibantah itu masih kekal pada Daftar Pemilih Tambahan.

Ketika perbicaraan diadakan di hadapan pengadil dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Mei lalu sekali lagi pemilih berkenaan dibantah.

Senarai pemilih yang dibantah itu belum dapat dipastikan lagi memandangkan senarai daftar baru suku kedua dijangka dipamerkan pada 27 Julai hingga 2 Ogos ini.

Persoalannya siapa yang mengekalkan pemilih terbabit, sedangkan ketika perbicaraan mereka tidak datang.

Difahamkan mengikut prosedurnya pemilih yang dibantah boleh merayu dan sekiranya dipersetujui pengadil senarai namanya dimasukkan kembali.

Adun Bukit Panau, Abdul Fattah Mahmood (gambar) mendedahkan pemilih yang telah lama dibantah dijelma kembali dalam senarai pemilih baru di Bukit Panau.

”Mengapa pemilih yang dibantah disenaraikan kembali. Ini menimbulkan banyak persoalan,” katanya di sini malam tadi.

Beliau ditemui selepas majlis makan malam amal Pemuda PAS Tanah Merah di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah. Program itu dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Hadir sama Adun Kemahang, Mejar (B) Datuk Md Anizam Abdul Rahman, Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa, Ketua Pemuda PAS Tanah Merah, Hisham Fauzi serta wakil kaum India dan Cina.

RM18,000 kos bantahan

Menjelang pilihan raya umum 2004, Dun Bukit Panau dilonggok seramai 1,800 pemilih baru yang tidak dikenali.

Pada proses perbicaraan yang diadakan ramai tidak hadir. PAS terpaksa membelanjakan kira-kira RM18,000 sebagai kos bantahan tersebut.

Setiap seorang yang dibantah perlu dibayar sebanyak RM10 oleh pembantah.

Wang deposit bantahan tersebut tidak dikembalikan biar pun pembantah menang pada perbicaraan dikendalikan di bawah SPR.

Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri juga mengesan lebih 300 orang tidak dikenali pada senarai pemilih baru suku pertama tahun ini di Dun Gual Ipoh.

Dan ketika proses bantahan dikendalikan SPR pada Mei lalu pemilih tak dikenali itu tidak hadir.

”Saya bimbang Dun Bukit Panau dan Gual Ipoh menjadi tempat longgokan pengundi luar bagi membolehkan pihak lawan menang mudah.

”Usaha tersebut dilakukan secara terancang menjelang pilihan raya umum 2004, namun hasil kerja keras jentera pilihan raya PAS menyebabkan pemilih tidak dikenali dikeluarkan,” ujar Abdul Fattah yang juga anggota Exco kerajaan negeri.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jentera PAS terpaksa bekerja keras bagi memastikan senarai pemilih tambahan yang dipamer tidak mempunyai pemilih tidak dikenali.

Katanya, apa yang berlaku di Bukit Panau menjelang PRU 2004 mencatat sejarah apabila begitu ramai pemilih tidak dikenali dilonggok di Dun berkenaan.

Nasihat bekas pengarah

Bekas Pengarah SPR Kelantan, Abdul Rahim Salleh mengingatkan jentera pilihan raya PAS memberi tumpuan utama kepada daftar pemilih baru.

”Dan apabila ada pemilih tidak dikenali mereka perlu dibantah segera bagi mengelakkan orang itu mengambil kesempatan mengundi ketika pilihan raya diadakan,” ujarnya.

Bagaimanapun bantahan tersebut dianggap Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar sebagai agenda politik parti tertentu.

Dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini beliau dilaporkan berkata, proses bantahan dianggap mempunyai agenda politik menyebabkan 81,000 pemilih tidak dapat disahkan dalam suku pertama tahun ini.

Malah dakwanya ada pihak kurang bertanggungjawab dan mempunyai agenda politik mahu menghalang pendaftaran baru di satu-satu kawasan.

Kenyataan tersebut dibidas pelbagai pihak sehingga ramai mendesak Wan Ahmad meletak jawatan.

Tiada ulasan: