Selasa, 24 Mei 2011

Tanah Runtuh : Sultan Selangor Lawat Lokasi Kejadian (Kemaskini)

Ditulis oleh Ayie



HULU LANGAT : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mencemar duli melawat tapak kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di sini hari ini.

Baginda tiba kira-kira pukul 10.40 pagi dan diberikan taklimat penuh mengenai kejadian itu oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab.

Turut memberi taklimat ialah Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerjaraya (JKR), Datuk Ashaari Mohamad yang menerangkan mengenai struktur tanah dan keadaan cerun lokasi kejadian.

Dalam kejadian itu, 16 orang terkorban manakala sembilan yang lain berjaya diselamatkan.

Ketika kejadian, penghuni rumah anak-anak yatim ini dikatakan sedang menjalani latihan nasyid dibawah sebuah khemah yang dibina bersebelahan dengan bangunan asrama.

Pada majlis yang sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM217,000 kepada 53 mangsa tanah runtuh dan rumah anak-anak yatim berkenaan.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM100,000 disalurkan kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat.

Selain itu waris kepada 16 mangsa yang terkorban turut menerima RM5,000 manakala RM1,000 seorang diberikan kepada 37 mangsa yang terselamat.

Dalam pada itu baginda turut berkenan menyampaikan bantuan daripada Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM80,000 kepada 16 waris mangsa yang terkorban.

Tiada ulasan: