Selasa, 24 Mei 2011

Penduduk Buat Laporan Minta Perlindungan Polis

TVS NEWS

KLANG : Wakil penduduk Jalan Bukit Kerayong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran ekoran ancaman pengusiran mereka dari kediaman oleh syarikat pemaju kawasan terbabit, Melati Ehsan Development Sdn Bhd.

Malah ada di antara penduduk di kawasan berkenaan yang berkali-kali didatangi oleh wakil dari syarikat pemaju yang meminta mereka meninggalkan kawasan penempatan itu kerana kerja-kerja pembinaan akan dijalankan tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, kes Jalan Bukit Kerayong ini masih dibicarakan di mahkamah dan pihak pemaju tiada hak untuk mengusir atau pun menceroboh kawasan tersebut.

Dua tahun lalu, pemilik tanah iaitu Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) Sdn Bhd menjualkan tanah tersebut kepada Melati Ehsan dengan harga RM32 juta dan Melati Ehsan akan mendapat keuntungan sebanyak RM150 juta daripada projek pembangunan ini.

Perkara ini jelas bercanggah dengan objektif penubuhan TPPT Sdn Bhd iaitu meningkatkan kemampuan rakyat memiliki rumah dengan membekalkan rumah kepada golongan pendapatan rendah.

Segelintir penduduk Bukit Kerayong tinggal di kawasan itu sejak 70 tahun lalu.

Mereka digelar peneroka bandar atas usaha dan titik peluh mereka meneroka hutan menggunakan wang dan tenaga sendiri untuk mendirikan rumah.

Namun tahun demi tahun, kawasan ini mula mendapat "perhatian" mantan Menteri Besar Selangor Muhammad Muhammad Taib dan ADUN Pandamaran ketika itu,Teh Chang Eng yang memulakan episod masalah dan penipuan di Jalan Bukit Kerayong.

Sehingga kini, masalah Jalan Bukit Kerayong masih belum selesai.

Menurut ahli parlimen Klang, Charles Santiago yang menemani penduduk, laporan polis yang dibuat pada hari adalah untuk meminta perlindungan daripada pihak yang berwajib supaya penduduk tidak diusir.

"(Kami) meminta polis memberi keselamatan kepada keluarga Jalan Bukit Kerayong kerana kemungkinan besar pihak Melati Ehsan akan mula merobohkan rumah-rumah mereka,"kata Charles.

Menurut Charles lagi, pemaju menggunakan helah kononnya mahu membersihkan kawasan tersebut bagi menyimpan barang-barang pembinaan.

Walau pun demikian, ia jelas melanggar undang-undang apabila belum ada keputusan muktamad dari pihak mahkamah mengenainya.

"Isu ini masih lagi berada dalam kes mahkamah, oleh kerana itu apa yang dilakukan Melati Ehsan bercanggah dengan undang-undang sebab isu ini belum diputuskan
oleh mahkamah,"tegas Charles.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Bandar Jalan Bukit Kerayong, Dominic See Chee Yong, pihaknya telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama Melati Ehsan namun sehingga kini tidak menerima jawapan yang memuaskan.

Malah katanya Melati Ehsan telah beberapa kali melakukan pencerobohan sebegini dan mencari pelbagai alasan untuk memasuki penempatan tersebut.

"Sebenarnya perkara ini sudah lama berlaku dan kami ingin satu jawapan yang pasti melalui hitam putih tetapi sampai sekarang masih belum menerima apa-apa jawapan lagi,"katanya.

Tiada ulasan: