Rabu, 25 Mei 2011

Harakah lancar tabung bantu mangsa tanah runtuh

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Tabung Kemanusiaan Harakah akan menyalurkan semua kutipan yang diterima mereka bermula hari ini sehingga 30 Jun akan datang, kepada penghuni serta mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat pada Sabtu lalu.

Perkara itu diumumkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar pada sidang media bersama Ahli Parlimen Hulu Langat Che Rosli Che Mat di Pejabat Agung PAS hari ini (gambar).

"Kutipan itu kita akan khususkan untuk membantu keluarga dan pembangunan sekolah dan madrasah yang terlibat," kata Kamarudin.

Sehubungan itu, bermula hari ini, tabung tersebut dibuka kepada semua pihak bersimpati sama ada syarikat, pertubuhan atau individu persorangan untuk memberi sumbangan.

Sumbangan boleh disalurkan ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Bhd 1406 9010 0212 98 atas nama Tabung Kemanusiaan Harakah.

Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden rumah anak-anak yatim itu sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah kahas bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu sememangnya dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.

Tiada ulasan: