Rabu, 18 Mei 2011

Fitnah II: Najib, Rosmah akan diheret ke mahkamah- Peguam

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor akan dipanggil untuk hadir memberi keterangan di mahkamah berhubung penglibatan mereka dalam kes Fitnah II.


Mereka akan dipanggil sebaik sahaja mahkamah bersidang untuk mendengar pasukan peguam bela Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan hujah pembelaan.

“Kita akan menemubual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Mereka adalah antara 30 saksi yang kita akan temubual,” demikian dinyatakan peguam Anwar, Sankara Nair kepada wartawan selepas mahkamah menetapkan Anwar perlu membela diri hari ini.

Untuk rekod, pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan sebelum ini mengakui beliau bertemu Najib sebelum membuat laporan polis terhadap Anwar.

Selain Najib dan Rosmah, peguam bela juga akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan nasional, Ezam Mohd Nor dan bekas pembantu khas kepada Rosmah, Datuk Mumtaz Jaafar.

Menurut Sankara, Anwar akan menjadi saksi pertama pasukan peguam bela apabila mahkamah bersidang 6 Jun ini.

Manakala dua pakar DNA dari Australian yang membantu pasukan peguam Anwar, Dr David Wells dan Dr Brian MacDonald akan turut hadir sebagai saksi kelak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan mengarahkan Anwar membela diri dalam kes berkenaan.

Beliau memutuskan perbicaraan untuk mendengar hujah peguam bela Anwar ditetap pada 6 hingga 30 Jun ini.

Anwar ketika ditemui pemberita selepas keputusan itu dibacakan, mendakwa hakim menjatuhkan hukuman terhadap beliau sebelum diarah membela diri.

Menurut Anwar, meskipun telah menjangkakan keputusan tersebut, namun beliau merasa terkejut dengan alasan hakim Zabidin yang menerima hujah pendakwaraya bulat-bulat dengan menyatakan pengadu, Saiful Bukhari Azlan sebagai saksi yang berwibawa.

“Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes ini dan menjangkaui kes prima facie,” kata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Ini membuat kedudukan pembela lebih bahaya,” katanya.

Anwar mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya doktor Hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium Desa Damansara, Hasanuddin Hamid.

“Saya telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini tiada asas,” katanya.

Tiada ulasan: