Khamis, 10 Februari 2011

Unsur rasuah pembinaan jejantas RM10 juta?

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Pusat, Muthiah Maria Pillay tidak menolak unsur rasuah dalam pembinaan jejantas sepanjang 142 meter dengan kos RM10 juta menghubungkan Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) ke Hotel Impiana.

Katanya, walaupun jejantas itu dilengkapi penghawa dingin dan mesra orang kelainan upaya (OKU), kos setinggi itu tidak masuk akal. Malah, beliau turut mempersoalkan fungsi sebenar pembinaannya.

“Kalau sudah cecah RM10 juta, apa lagi yang saya mahu katakan jika tidak berlakunya rasuah. Ada kemungkinan sebanyak 50 peratus itu rasuah dan hanya selebihnya diguna untuk membina jejantas tersebut,” kata Muthiah.

“Sepatutnya kerajaan perlu melihat kepada fungsi sebenar jejantas tersebut, tetapi saya tidak tahu sekiranya mereka ingin menyalut emas di jejantas tersebut. Ini bukan perkara baru, sudah banyak peruntukan besar diberikan kepada tender kerajaan yang boleh dibuat dengan kos yang lebih murah.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar mendahulukan kebajikan rakyat daripada menghabiskan duit membina jejantas tersebut.

“Sepatutnya kerajaan utamakan rakyat, duit itu boleh berikan khidmat kesihatan percuma atau membiayai sistem pendidikan negara yang jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat.

“Rakyat memilih pemimpin supaya dapat menjamin kebajikan mereka. Walaupun kerajaan memperuntukkan jumlah sebesar itu, bukan bermakna rakyat negara ini kaya. Kerajaan perlu sedar sebahagian besar rakyat masih hidup di bawah garis kemiskinan,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar semalam menggesa Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail memberi penjelasan berhubung kos pembinaan jejantas itu.

Menurut Izzah, secara purata RM70,422 digunakan untuk membina semeter jejantas. Beliau turut menuntut penjelaskan sama ada projek itu dilaksanakan melalui tender terbuka atau pun tidak dan berapa banyak wang awam digunakan.

Tiada ulasan: