Isnin, 28 Februari 2011

Puak anti-Samy anjur kempen Selamatkan MIED, calon ahli baru tolak tawaran


KUALA LUMPUR – Selepas dua kali mengadakan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) tahun lalu, bekas timbalan ketua Pemuda MIC V. Mugilan mahu menganjurkan kempen “Selamatkan MIED” Isnin ini ekoran desas-desus adanya usaha untuk menambah keahlian dalam sayap pendidikan MIC, yang didakwa mahu memperkukuhkan kedudukan Datuk Seri S. Samy Vellu.

Pada waktu yang sama seorang pemimpin MIC yang diundang untuk menjadi ahli tambahan baru – Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) menolak untuk menerima undangan itu ekoran bantahan dan rasa tidak puas hati ke atas usaha menambah keahliannya.

Mugilan (gambar) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya sedang membuat perancangan untuk mengadakan protes Isnin ini iaitu pada hari MIED mengadakan mesyuarat lembaga pemegang amanahnya, yang dijadual membincangkan agenda menambah keahlian.

Difahamkan lembaga yang dipengerusikan oleh Datuk Seri S. Samy Vellu, bekas presiden MIC, mahu menambah sehingga 10 ahli baru.

“Kami akan mengumumkan butiran kempen Selamatkan MIED dalam beberapa hari lagi, tetapi fokus kali ini ialah mahu menyelamatkan MIED daripada dilarikan, dirampas daripada kawalan MIC,” kata beliau petang ini.

Mugilan, yang dipecat dari MIC oleh Samy Vellu kerana memintanya berhenti mengetuai MIC pertengahan tahun lalu berkata, bekas presiden itu wajar menyerahkan kedudukan pengerusi lembaga pemegang amanah kepada presiden semasa.

“Samy Vellu seharusnya menyerahkan kepada presiden MIC yang baru,” kata beliau yang turut meminta campur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Datuk Seri Najib juga mesti campur tangan menyelamatkan MIED, jika tidak ia akan memberi kesan dari sokongan pengundi masyarakat India ke atas BN,” katanya lagi.

Sejak melepaskan jawatan sebagai presiden MIC, Samy Vellu dilantik oleh kerajaan sebagai duta khas rantau Asia Selatan bagi prasana.

The Malaysian Insider pagi tadi membawa laporan bahawa Samy Vellu dan presiden MIC Datuk G. Palanivel dilihat sedang menuju ke arah pertembungan secara terbuka buat julung kali sejak peralihan kepimpinan Disember lalu - berhubung isu keahlian dalam MIED.

MIED yang mempunyai aset sekitar RM1 bilion, dipengerusikan oleh Samy Vellu sejak penubuhannya pada 1984 dan akan mengadakan mesyuarat pemegang amanahnya pada 7 Mac ini, antara lain bagi membincangkan agenda menambah keahlian.

Ahli-ahli MIED mempunyai kuasa untuk memilih pengerusi lembaga pemegang amanah.

Sayap itu kini mempunyai 34 ahli dengan 10 daripada mereka merupakan pemegang amanah.

MIED dijangka mengadakan mesyuarat agung tahunan pertengahan tahun ini, yang pertama sejak Palanivel menggantikan Samy Vellu sebagai presiden MIC.

The Malaysian Insider difahamkan rata-rata ramai pemimpin kanan MIC tidak gembira MIED membincangkan usaha menambah ahli, lebih-lebih tanpa diperhalusi atau dibincangkan oleh jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti, yang mesyuaratnya dipengerusikan oleh presiden.

Malah The Malaysian Insider difahamkan lembaga pemegang amanah boleh menambah ahlinya tanpa had.

Malah seorang anggota CWC, Tan Sri Dr. K.S Nijhar telah meminta Samy Vellu selaku pengerusi MIED supaya menangguhkan mesyuarat lembaga amanah minggu depan sehingga idea menambah ahli dan pelantikan ahli baru dibincangkan di CWC terlebih dahulu.

Difahamkan, ini kali pertama keputusan seumpama itu dibantah oleh anggota lembaga amanahnya sendiri.

Sebelum ini ada pandangan bahawa MIED dan AIMST merupakan dua sayap pendidikanmilik MIC, dan tidak wajar disusun menjadi entiti berasingan sebagai sebuah yayasan.

MIED kini menguruskan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang terletak di Semeling, Kedah.

Pada tahun 1996/97, MIED menerusi MIC memulakan usaha menubuhkan AIMST. MIED juga menyediakan bantuan kewangan pendidikan.

Ketika itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.

Mengulas mengenai rancangan mengadakan protes Isnin ini, Mugilan yang juga bekas ketua Pemuda MIC Hulu Selangor berkata, pihaknya akan mengadakan bantahan di tempat mesyuarat itu berlangsung.

Lazimnya mesyuarat itu akan diadakan di bangunan Menara MIC di sini.

MIC Hulu Selangor diketuai oleh Palanivel.

Dalam pada itu sumber memberitahu, seorang pemimpin MIC yang diundang oleh Samy Vellu untuk menjadi ahli MIED telah menolak tawaran tersebut atas alasan tidak mahu menjadi ahlinya dalam keadaan protes masyarakat India.

Pemimpin itu dikatakan telah menghantar notis menarik daripada menjadi ahli baru kepada Samy Vellu dan sekretariat MIED hari ini ekoran laporan media pagi tadi.

Dia dikatakan orang pertama berbuat demikian.

Bagaimanapun ketika dihubungi pemimpin berkenaan enggan mengulas lanjut mengenai tindakannya.

Difahamkan Samy Vellu bercadang membawa 10 lagi ahli baru, tambahan kepada 34 yang ada sekarang.

Tiada ulasan: