Khamis, 10 Februari 2011

Perkasa: Kami tak memihak BN dalam bela orang Melayu



KUALA LUMPUR — Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali menegaskan pertubuhan membela hak orang Melayu itu tidak memihak kepada sesiapa termasuk Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sebaliknya Syed Hassan berkata Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali akan bersuara terhadap mana-mana pihak yang menyentuh dan mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu.

“Perkasa sentiasa bersuara tegas jika ada apa-apa yang tak betul yang membabitkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta nbegara. Tak kira yang dilakukan oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang.

“Kita buat kenyataan atau bersuara bukan untuk pertahan BN yang dianggap kroni kepada Perkasa... kita bukan kroni kepada sesiapa,” katanya.

Semalam Lim mendakwa Perkasa berjuang membela hak orang Melayu kerana mahu melindungi politik naungan dan kronisme BN.

Setiausaha Agung DAP itu juga mendakwa Perkasa berdiam diri berikutan kegagakan Kabinet menyelesaikan skandal Maika Holding dan Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

Menurut Syed Hassan, dakwaan Lim itu adalah tidak benar kerana Perkasa turut bersuara dalam pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk skandal Maika Holding dan PKFZ.

Beliau juga membidas Lim apabila membangkitkan isu kronisme yang dilihat menjadi aset utama dalam Pakatan Rakyat.

“Amat lucu bila membaca kenyataan Guan Eng bila dia bangkitkan isu kroni. Guan Eng itu sendiri anak siapa? Bapa, anak, isteri dan menantu memegang jawatan penting parti dalam Pakatan Rakyat sudah menjadi lumrah.

“Sudah menjadi darah daging perjuangan mereka, perkataan kroni hak eksklusif bagi Pakatan (Rakyat) dan pihak lain tidak berhak menggunakan perkataan kroni,” katanya.

Syed Hassan juga menafikan dakwaan Lim bahawa Perkasa bersetuju dengan cadangan memansuhkan 30 peratus ekuiti Bumiputera.

“Adalah tidak masuk akal untuk Perkasa bersetuju kepada cadangan memansuhkan 30 peratus ekuiti Bumiputera oleh mana-mana pihak, kalau Perkasa setuju dengan cadangan gila sesetengah pihak itu, kira kiamat dah nak sampai lah.

“Malah Perkasa mahu jika boleh ekuiti itu dinaikan mengikut jumlah penduduk Bumiputera dalam negara ini iaitu lebih dari 60 peratus,” katanya.

Tiada ulasan: